JDT, TFC mula dengan kemenangan 3-1

Bernama
Ogos 2, 2019 00:06 MYT
Pemain JDT Muhammad Safawi Rasid diasak pemain UiTM FC Maycon Rogerio Silva Calijuri pada Perlawanan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini. Kedudukan separuh masa pertama JDT 1-0 UiTM FC. - fotoBERNAMA
Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila menewaskan UiTM FC 3-1 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, malam tadi.
Pada aksi pembukaan kejohanan tertua di rantau Asia Tenggara itu, skuad Harimau Selatan membuka jaringan menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Diogo Santo pada minit ke-15.
Juara edisi 2017 itu menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti Muhammad Safawi Rashid pada minit ke-65, selepas Muhammad Akhyar Abdul Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti, sebelum penjaring kedua terbanyak Liga Super, Diogo menambah jaringan peribadi keduanua pada minit ke-85.
Gol sagu hati UiTM FC dijaringkan oleh pemain import dari Montenegro, Zarko Korac pada masa kecederaan.
Sementara itu, di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, naib juara 2018, Terengganu FC (TFC) turut mula dengan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC pada saingan Kumpulan A.
Skuad Penyu membuka jaringan menerusi rembatan jarak dekat pemain import dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov seawal minit kelima, sebelum Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew menyamakan kedudukan buat skuad Semut Merah pada minit ke-30.
Tersentap dengan jaringan itu, TFC membuat serangan balas, di mana tandukan pemain pertahanan, Nasrullah Haniff Johan pada minit ke-38 dan Sanjar pada masa tambahan mengesahkan tiga mata penuh buat juara 2001 itu.
Aksi Piala Malaysia akan bersambung esok apabila Negeri Sembilan berjumpa juara Piala FA 2019, Kedah; Pahang mencabar Pulau Pinang; Petaling Jaya (PJ) City FC bertemu PKNP dan Selangor menerima kunjungan Felda United.
-- BERNAMA
#Asia Tenggara #Brazil #Diogo Santo #Harimau Selatan #JDT #Johor Darul Ta'zim #Montenegro #Muhammad Akhyar Abdul Rashid #Muhammad Safawi Rashid #Piala FA 2019 #Piala Malaysia #UiTM FC
;