JDT tetap garang tanpa Mora, NS rampas kedudukan ketiga

Bernama
Julai 27, 2022 00:19 MYT
JDT kini gah di persada liga apabila mengumpul 32 mata daripada 12 perlawanan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Biarpun beraksi tanpa ketua jurulatih, motivasi pendahulu Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap berada pada tahap tertinggi selepas menewaskan Sarawak United FC 4-0 pada aksi Liga Super dia Stadium Negeri, Kuching, malam ini.
JDT hari ini membuat kejutan apabila mengumumkan bekas pengendalinya Benjamin Mora sah meninggalkan skuad Harimau Selatan untuk pulang ke negara kelahirannya Mexico disebabkan faktor urusan peribadi, hanya beberapa jam sebelum sepak mula aksi di Kuching.
Pada aksi malam ini, bekas penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri meletakkan JDT di depan pada minit ke-13 selepas mengambil kesempatan di atas kealpaan beberapa pemain pertahanan tuan rumah untuk memanfaatkan lontaran ke dalam yang pantas dilakukan La'Vere Corbin-Ong.
Tujuh minit kemudian, JDT, yang dibimbing penolong ketua jurulatih, Mohd Hamzani Omar, selesa mendahului 2-0 selepas penyerang import sensasi dari Brazil, Bergson da Silva, bijak menghidu ruang untuk menampan tandukan rakan sepasukan berpunca dari sepakan penjuru.
Pemain pertahanan, Muhammad Syahmi Safari, yang menerima hantaran jauh import dari Argentina, Fernando Forestieri, meledak gol ketiga JDT pada minit ke-79 sebelum giliran Forestieri mencetak nama sebagai penjaring menerusi sepakan penalti pada penghujung perlawanan selepas beliau dijatuhkan.
JDT kini gah di persada liga apabila mengumpul 32 mata daripada 12 perlawanan manakala Sabah FC kedua (28 mata) dan Negeri Sembilan FC naik ke kedudukan ketiga mengutip 23 mata selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Pada aksi itu, pemain sayap import Negeri Sembilan, Yashir Pinto meledak gol pembukaan pada minit ke-17 apabila tenang menyempurnakan hantaran rakan sepasukan, namun TFC hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah Tchetche Kipre pada minit ke-19.
Kesilapan penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim menangkap bola membawa padah, apabila bola yang terlepas darpadai kawalannya singgah di kaki Gustavo Dos Santos yang tidak teragak-agak melepaskan rembatan untuk gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-52.
Sementara itu, dua jaringan penting penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah memastikan Kuala Lumpur (KL) City FC meraih tiga mata berharga selepas mengatasi Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.
Mintah, yang menyertai skuad The City Boys dari TFC II bulan lepas, menjaringkan gol penyamaan yang juga jaringan pertamanya bersama kelab baharu pada minit ke-56 selepas Aiman Alif Afizul meletakkan KDA FC di depan pada minit ke-42.
Beliau memusnahkan harapan skuad Sang Kenari untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Cheras apabila menanduk masuk hantaran rakan sepasukan pada minit ke-72 sekali gus menjadi gol kemenangan yang menyaksikan KL City naik kedudukan keempat dengan 18 mata.
Dalam pada itu, Sri Pahang FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan selepas menundukkan Selangor FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan Steven Rodriguez dan Abdul Malik Mat Ariff masing-masing pada minit ke-34 dan ke-39 sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan ketiga musim ini.
Dalam aksi Liga Premier, Kelantan United FC yang terpaksa bermain 10 orang selepas pemain tengah Muhammad Haziq Mohd Subri dilayangkan kad merah di hujung babak pertama, sekadar seri 1-1 berdepan Skuad Projek FAM-MSN di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Jaringan sendiri Shuhei Fukai pada minit ketujuh meletakkan pasukan pelawat di depan sebelum Kelantan United mampu menarik nafas lega selepas penyerang gantian Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin menyamakan kedudukan pada minit ke-53.
-- BERNAMA
#JDT #Benjamin Mora #Liga Super #Sarawak United
;