JDT terus unggul di persada Liga Super
Bernama
Mac 13, 2021 00:50 MYT
Mac 13, 2021 00:50 MYT
KUALA LUMPUR: Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) terus unggul di persada liga selepas mencatatkan kemenangan bergaya 4-0 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.
Kecederaan kaki kiri dialami oleh Muhammad Safawi Rasid pada minit kelapan, langsung tidak merencatkan semangat JDT selepas pemain muda yang menggantikannya, Arif Aiman Mohd Hanapi hanya memerlukan masa seminit untuk membuka jaringan melalui gerakan menarik di sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan leret pada minit ke-10.
Lima minit kemudian, Gonzalo Gabriel Cabrera meletakkan skuad Harimau Selatan selesa di depan menerusi sepakan lencong cantik dari luar kotak penalti selepas cubaan kali pertamanya berjaya ditampan pertahanan tuan rumah.
Skuad bimbingan Benjamin Mora terus menambah derita UiTM FC selepas penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva menambah jaringan hasil dari rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti pada minit ke-80 sebelum Mohamed Syamer Kutty Abba melengkapkan malam indah buat pasukannya menerusi gol pada masa kecederaan babak kedua.
Perlawanan tumpuan 'Klang Valley derby' antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas keputusan seri 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kealpaan barisan pertahanan Selangor FC yang cuba melakukan perangkap "offside" mengundang padah selepas Dominique Da Sylva bijak menghidu peluang untuk menjaringkan gol pembukaan bagi meletakkan KL City FC di depan pada minit ke-81.
Kedudukan itu bagaimanapun tidak kekal lama selepas pemain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco tertanduk bola ke gawang sendiri berpunca dari sepakan percuma oleh pemain import baharu, Oliver Buff membantu menyelamatkan maruah "The Red Giants" pada minit ke-90.
Melaka United pula mencatatkan keputusan seri ketiga berturut-turut apabila mengikat Sri Pahang FC tanpa jaringan di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Sementara itu, gol pada minit ke-51 oleh penyerang Darren Lok sudah cukup membantu Petaling Jaya (PJ) City FC merekodkan kemenangan pertama dalam Liga Super menewaskan pasukan tuan rumah, Sabah FC di Stadium Likas.
Aksi Liga Premier menyaksikan Kelantan United FC mengekalkan rentak cemerlang di laman sendiri selepas menumpaskan Perak II, 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
#JDT
#Liga Super
#menewaskan UiTM
#Johor Darul Ta'zim
#Stadium UiTM
#shah alam
#Muhammad Safawi Rasid