JDT terus gah terajui carta Liga Super

Bernama
April 6, 2021 00:08 MYT
Penyerang import JDT dari Brazil Bergson Da Silva menjaringkan gol kedua JDT malam ini. - Gambar/ Facebook @JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mendominasi carta Liga Super 2021 selepas menewaskan Sabah FC, 4-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.
Skuad bimbingan Benjamin Mora itu tidak menunggu lama untuk menghasilkan jaringan apabila pemain sayap muda sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi yang tidak dikawal menyambut hantaran dari tengah padang oleh Mohd Afiq Fazail, sebelum melepaskan rembatan leret ke sebelah kanan gawang gol Sabah FC untuk meletakkan JDT di depan pada minit ketujuh.
Seminit kemudian, penyerang import JDT dari Brazil Bergson Da Silva menyumbat masuk bola ke dalam gol Sabah selepas cubaan pertamanya gagal ditampan dengan kemas penjaga gawang tuan rumah Robson Rendy Rining.
Bersambung babak kedua, Sabah FC merapatkan jurang hasil sepakan penalti pemain tengah import, Levy Clement Madinda pada minit ke-58, namun layangan kad merah kepada Maxsius Musa yang melakukan terjahan keras terhadap Natxo Insa pada minit ke-59 merencatkan semangat tuan rumah untuk cuba bangkit semula dalam perlawanan itu.
JDT berjaya memanfaatkan kelebihan yang ada apabila Bergson sekali lagi meledak gol ketiga pelawat pada minit ke-68 selepas menolak masuk bola hantaran dari sebelah kanan oleh Arif Aiman sebelum seorang lagi pemain import, Leandro Sebastian Velazquez melengkapkan malam indah pasukannya menerusi jaringan keempat hasil sepakan penalti pada minit ke-87.
#JDT #Liga Super #terajui carta #tewaskan #Sabah FC
;