JDT tersungkur di Kuala Lumpur
Astro Arena
Februari 11, 2018 22:09 MYT
Februari 11, 2018 22:09 MYT
Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa menanggung kekalahan pertama musim ini apabila tumpas 1-0 kepada pendatang baru, Kuala Lumpur, dalam Liga Super di Stadium KLFA, sebentar tadi dalam perlawanan yang bersambung daripada aksi yang tertangguh malam tadi.
Kuala Lumpur menjaringkan gol tunggal menerusi Paulo Josue Sturmer dos Reis pada masa tambahan separuh masa pertama sebelum perlawanan itu ditunda akibat hujan lebat selepas beberapa minit babak kedua dimulakan, malam tadi.
Dalam aksi 33 minit yang bersambung di stadium sama hari ini, kedua-dua pasukan gagal menemui gol untuk membolehkan skuad Warga Kota itu mengekalkakan kedudukan dan mengecap kemenangan pertama liga.
Keputusan itu membawa Harimau Selatan jatuh ke tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang PKNS FC.
Kali terakhir JDT tewas dalam liga adalah pada September tahun lalu ketika tumpas 3-2 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Ini adalah penyertaan Liga Super pertama Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu apabila mereka menjuarai Liga Perdana musim lalu.
Selangor, yang turut tewas buat kali pertama selepas melakar dua kemenangan, berada di tempat ketiga.
Walaupun menyamai enam mata JDT, Selangor berada di kedudukan lebih bawah dibezakan dengan jaringan bolos selepas kalah 4-1 di tangan Terengganu FC di Kuala Terengganu, malam tadi.
Antara pasukan pilihan musim ini, Kedah, yang sedang menentang PKNP untuk perlawanan ketiga di Batu Kawan, terperosok di tangga terbawah selepas tewas dua perlawanan lalu.