JDT, Terengganu tepati ramalan, Sri Pahang bergelut atasi Harini FT
Bernama
Ogos 5, 2023 08:00 MYT
Ogos 5, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan mencatat kemenangan selesa selepas menewaskan Kelantan FC 5-1 pada perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk mencetak jaringan selepas penyerang prolifik dari Brazil Bergson Da Silva tenang menyudahkan percubaan dalam situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol Muhammad Irfan Haikal Mohd Iffendi pada minit ketujuh.
Penyerang import baharu JDT Heberty Fernandes memastikan skuad bimbingan Esteban Solari selesa mendahului selepas meledak dua gol mudah dalam tempoh sembilan minit masing-masing pada minit ke-15 dan minit ke-24 sekali gus menyaksikan Kelantan semakin tertekan.
Skuad The Red Warriors cuba bangkit mengurangkan defisit jaringan dengan beberapa gerakan namun gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan lawan, sebaliknya JDT melebarkan penguasaan menerusi jaringan keempat oleh pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad pada minit ke-50.
JDT menambah duka tuan rumah apabila meledak jaringan kelima hasil rembatan dari jarak dekat Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-67 sebelum Kelantan berjaya mendapatkan gol sagu hati menerusi percubaan dari luar kotak penalti Mohamad Khala'If Mohd Naskam pada minit ke-85.
Keputusan itu menyaksikan Kelantan berdepan tugas berat pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri di Johor pada 19 Ogos ini.
Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, jaringan hatrik penyerang import Ivan Mamut memastikan Terengganu FC menundukkan pendahulu Liga M3, Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) 4-0 sekali gus membawa bekalan selesa ke pertembungan kedua di Kuala Nerus, Terengganu 18 Ogos ini.
Pemain import dari Croatia berusia 26 tahun itu meletakkan skuad Penyu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan pada minit ke-18 dan masa kecederaan selepas menyempurnakan hantaran rakan sepasukan Sony Norde.
Norde sekali lagi memainkan peranan penting dalam gerakan serangan Terengganu selepas hantarannya disempurnakan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob@Engku Azman pada minit ke-52 untuk gol ketiga pasukan sebelum Mamut melengkapkan hatrik pada minit ke-67.
Dalam pada itu, jaringan pada masa kecederaan babak kedua oleh pemain gantian Muhamad Baqiuddin Shamsudin menyelamatkan maruah Sri Pahang FC untuk merakam kemenangan tipis 3-2 ke atas satu lagi wakil Liga M3, Harini FT di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan.
Terdahulu, pasukan tuan rumah bangkit daripada ketinggalan menerusi gol Muhammad Fikri Mohamed Shah pada minit ke-59 dan bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-74) selepas David Rowley dan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak masing-masing meletakkan skuad Tok Gajah di depan pada minit ke-20 dan minit ke-54.
Sri Pahang akan melayani kunjungan Harini FT di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 20 Ogos ini.
-- BERNAMA