JDT selesaikan pusingan pertama Liga Super 2023 dengan rekod bersih
Bernama
Jun 3, 2023 05:00 MYT
Jun 3, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod bersih untuk menamatkan pusingan pertama Liga Super 2023 dengan melakarkan kemenangan ke-13 dengan menundukkan Penang FC, 2-0, di Stadium Bandaraya, George Town, pada Sabtu malam.
Skuad bimbingan Esteban Solari mencipta rekod tersendiri dengan mengumpul 39 mata maksimum dan hanya membolosi satu gol dan menghasilkan 51 jaringan.
JDT mendahului liga dengan kelebihan 11 mata, mengatasi Selangor FC di tangga kedua.
Tonggak pertahanan JDT, La'vere Lawrence Corbin Ong membuka tirai jaringan buat Harimau Selatan menerusi sepakan voli rendah dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Shafiq Afifi Suhaimi, pada minit ke-18.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Penang, yang dibimbing Manzoor Azwira Abd Wahid, hampir mendapatkan gol penyamaan namun percubaan pemain pertahanan, A. Namathevan, sedikit melewati palang gol pada minit ke-25.
Bersambung babak kedua, Harimau Kumbang terus kecewa apabila percubaan oleh Giovane Gomes Da Silva dihalang oleh pemain gantian JDT, Ignacio Insa Bohigues pada minit ke-51 manakala pelawat menoktahkan kemenangan menerusi jaringan penyerang dari Argentina, Fernando Forestieri, lima minit sebelum masa sebenar tamat.
Keputusan hari ini menyaksikan Penang pula turun satu anak tangga ke tempat ke-10 dengan 14 mata.
Sementara itu, pencabar terdekat JDT, Selangor FC tewas mengejut kepada PDRM, 1-0, di tempat lawan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.
Jaringan tunggal penyerang import, Bruno Suzuki pada minit ke-61 sudah cukup untuk pasukan bimbingan Azzmi Aziz itu melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menang bergaya ke atas Kelantan FC, 4-1, pada 23 Mei lepas sekali gus memastikan mereka memungut tiga mata penuh untuk naik satu anak tangga di tempat kesembilan dengan 16 mata.
Aksi di Stadium Perak, Ipoh, pada sebelah petang pula menyaksikan pengendali baharu Perak FC, Yusri Che Lah gagal melepasi ujian pertama apabila pasukan bimbingannya ditewaskan Terengganu FC, 0-3.
Penyerang Thailand, Adisak Kraisorn memanfaatkan kesilapan pertahanan Perak yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya untuk menjaringkan gol pertama lawan, enam minit selepas perlawanan bermula dan Sony Norde pula menggandakan jaringan pasukannya hasil daripada serangan balas, 10 minit kemudian.
Pemain gantian Jordan Mintah terus menambah luka tuan rumah apabila berjaya menanduk masuk gol ketiga pelawat hasil sepakan sudut pada minit ke-74 untuk memastikan mereka membawa pulang tiga mata dan berada di tangga keenam dengan 20 mata manakala Perak pula kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata.
-- BERNAMA