JDT sambar Muhammad Aqil
Sinar Harian
Mei 18, 2023 17:20 MYT
Mei 18, 2023 17:20 MYT
KELAB Bola Sepak Johor Darul Ta'zim telah mengumumkan menandatangani pemain muda berbakat dari Terengganu, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi.
Perkara itu diumumkan JDT dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi kelab itu pada Khamis.
Sebelum ini, video Muhammad Aqil bermain bola sepak tular di media sosial yang menampilkan aksinya yang cukup tenang dan lincah mengawal bola berhadapan dengan pemain yang lebih berusia.
"Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim telah menandatangani pemain muda berusia 13 tahun, Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi dari Terengganu.
"Remaja tersebut akan menyertai Akademi JDT. Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan. Luaskan Kuasamu Johor," kata JDT dalam satu kenyataan pada Khamis.
Difahamkan, Muhammad Aqil merupakan anak kepada lagenda futsal Terengganu, Shamsul Aswadi dan pernah menjalani latihan dibawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). — Sinar Harian