JDT rangkul Piala Sultan Ahmad Shah
Bernama
Januari 31, 2015 23:57 MYT
Januari 31, 2015 23:57 MYT
Johor Darul Ta'azim (JDT) melaungkan amaran awal pada kempen Liga Malaysia 2015 apabila mengalahkan Pahang 2-0 untuk merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam ini.
JDT mengakhiri kemarau piala tersebut selama 29 tahun menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos pada minit ke-37 dan Luciano Gabriel Figueroa, pemain import dari Argentina, pada minit ke-58.
Jaringan dua pemain import pasukan Juara Liga Super musim lepas itu sudah cukup untuk mencalar rekod tanpa kalah Pahang sepanjang lima pertemuan antara mereka musim lepas.
Kali terakhir skuad Harimau Selatan memenangi gelaran sulung perlawanan sumbangsih tersebut ialah pada 1986.
Kemenangan tersebut juga membolehkan JDT mengutip tiga mata pertama untuk membuka tirai Liga Super musim ini.
Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 25,000 penonton, JDT menguasai keseluruhan babak pertama dan berjaya melakukan beberapa cubaan menarik.
Namun, tiga cubaan berturut-turut yang dilakukan oleh pemain import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-13, 14 dan 18 gagal disempurnakan dengan baik.
Mahali Jasuli dan Figueroa juga turut melakukan cubaan merbahaya masing-masing pada minit ke-30 dan 33 namun sekali lagi gagal menewaskan penjaga gol Tok Gajah, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.
Skuad Harimau Selatan, yang dibimbing jurulatih Bojan Hodak, akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila Santos menanduk masuk bola sepakan sudut ke gawang Pahang.
Masuk babak kedua, permainan lebih seimbang dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan.
Bagaimanapun, JDT berjaya mengukuhkan kedudukan apabila Figueroa menanduk cantik sepakan sudut oleh kapten Safiq Rahim untuk mengesahkan kemenangan.