JDT rangkul kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut

Bernama
Ogos 27, 2021 00:38 MYT
Jaringan hatrik Bergson da Silva mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut buat JDT selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 malam ini. - Gambar/ Facebook @johorsoutherntigers
KUALA LUMPUR: Jaringan hatrik penyerang import prolifik Bergson da Silva mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kelapan berturut-turut buat Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas membenam Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, malam ini.
Kemenangan ke-16 dicatat JDT selepas 20 perlawanan kempen musim 2021 itu meletakkan skuad Harimau Selatan 14 mata di hadapan Terengganu FC di kedudukan kedua, sekali gus menamatkan saingan perebutan takhta lebih awal dengan berbaki dua aksi liga.
Pada aksi itu, JDT memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului seawal minit kesembilan berpunca kesilapan pemain tengah Mohammad Zazrir Naim Abdul Rani melakukan hantaran yang disambar Bergson sebelum melepasi kawalan tiga pertahanan untuk merembat gol pembukaan pasukan.
Pemain import kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu kemudian bijak mencari ruang untuk memanfaatkan hantaran 'maut' daripada luar kotak penalti Safiq Rahim yang hanya melintasi pertahanan lawan sekali gus menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-41.
Empat minit berselang, gerakan satu-dua antara Bergson dan seorang lagi pemain import Gonzalo Cabrera disempurnakan sebaiknya oleh Bergson yang melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Muhammad Daniel Wafiuddin Sa'dun untuk melengkapkan jaringan hatrik peribadi keduanya musim ini.
Jaringan hatrik Bergson itu menyaksikan beliau kini mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan mengumpul 23 gol, memintas penyerang Selangor FC Ifedayo Olusegun yang berada di kedudukan kedua dengan perbezaan satu gol.
Kekalahan Sri Pahang FC pula menyaksikan skuad Tok Gajah masih belum selamat daripada zon penyingkiran apabila kini berkongsi 17 mata bersama Melaka United di kedudukan ke-10, empat mata di hadapan pasukan kedua tercorot Perak FC, dengan baki tiga perlawanan perlu ditempuh.
Sementara itu Sarawak United terus berada di landasan tepat untuk mendakap kejuaraan Liga Premier musim ini selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras.
Penyerang import dari Brazil Sandro da Silva meledak dua gol masing-masing pada minit ke-18 dan ke-36 sebelum giliran Uche Agba mencetak nama sebagai penjaring sekali gus mengumpul 13 gol keseluruhan untuk memberi saingan dalam perebutan gelaran pejaring terbanyak.
Pemain Terengganu FC II (TFC) Jordan Mintah mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Premier dengan mencetak 14 gol setakat ini.
Sementara itu, Negeri Sembilan FC yang kini berada di kedudukan kedua liga dikejutkan dengan kekalahan 1-2 di tangan Kelantan FC sekali gus memberi tamparan dalam usaha memintas kedudukan Sarawak United FC.
Pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, pemain tengah Syed Sobri Syed Mohamad meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-12, namun Negeri Sembilan FC pantas menyamakan kedudukan menerusi Francis Kone empat minit kemudian.
Seakan perlawanan tamat dengan keputusan seri, Nurshamil Abd Ghani muncul wira pasukan apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membantu pasukan naik ke tangga kelima dengan mengumpul 24 mata.
Negeri Sembilan FC kini mengumpul 32 mata, lima mata di belakang pendahulu Sarawak United FC dengan berbaki tiga perlawanan perlu ditempuh.
-- BERNAMA
#JDT #Liga Super #kejuaraan #bola sepak
;