JDT Racing Team barakan dunia permotoran

Sinar Harian
Oktober 8, 2023 07:45 MYT
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama-sama Hafiz Syahrin (kiri). - Foto Johor Southhern Tigers
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dijangka melebarkan sayap jenama kelab itu apabila menceburi arena perlumbaan permotoran bersama-sama pelumba berpengalaman negara Hafizh Syahrin Abdullah mulai musim 2024.
"JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada masa depan.
"Jenama JDT sebelum ini telah pun berkembang apabila menceburi pelbagai bidang seperti arena futsal, polo, tinju dan hoki ais.
"Usaha terbaharu ini juga disasarkan bagi mengembangkan lagi jenama JDT di peringkat global, secara tidak langsung membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama bersama-sama syarikat antarabangsa," ujar juara Liga Super 10 kali berturut-turut tersebut di laman sosial Facebook Johor Southern Tigers pada Ahad.
Sebagai rekod, Hafizh Syahrin pada ketika ini menggalas cabaran bersama Honda MIE Racing di pentas WSBK bukan nama baharu dalam arena dunia permotoran dalam dan luar negara.
Bekas pelumba Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu sebelum ini pernah menyarung seragam Yamaha serta KTM pada musim 2018 dan 2019. - Sinar Harian
#permotoran #Hafizh Syahrin Abdullah #JDT Racing Team #Johor Southern Tigers
;