JDT melonjak ke tangga kedua Liga Super
Bernama
Mei 4, 2015 09:19 MYT
Mei 4, 2015 09:19 MYT
Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali meraih rentak kemenangan setelah mengalahkan wakil kelab, Felda United FC (FUFC) pada perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, malam ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad 'Harimau Selatan' melonjak empat anak tangga untuk berada pada kedudukan kedua liga, berkongsi 18 mata bersama pendahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM bagaimanapun kekal mendahului carta Liga Super dengan kelebihan jaringan walaupun berkongsi mata dengan JDT.
Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong, JDT nyata bersemangat untuk memburu gol awal dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu skuad 'The Fighters'.
JDT kekal rekod tanpa kalah
Perancang tengah, Safiq Rahim hampir meletakkan JDT di hadapan namun percubaan beliau pada minit ke-16 berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Farizal Harun.
Skuad 'Harimau Selatan terus menggandakan asakan dan hasilnya penyerang import dari Argentina, Patricio Julian Rodriguez membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-45.
Pengadil, Samsudin Ibrahim menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT setelah Patricio dijatuhkan oleh pemain pertahanan FUFC, Shahrul Mohd Saad di dalam kotak penalti pasukan pelawat.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh masa kedua, FUFC mengubah corak perlawanan dengan melancarkan serangan ke kubu JDT dan mereka hampir berjaya menyamakan kedudukan namun percubaan pemain import dari Australia, Makeche Ndumba pada minit ke-74 hanya sedikit melewati tiang gol tuan rumah.
Kedua-dua pasukan terus berusaha untuk menembusi kubu lawan namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat ditiup.