JDT lebih digeruni, Tok Gajah masih misteri

Astro Arena
Januari 31, 2015 16:54 MYT
Pahang pula masih mempertaruhkan sentuhan Zainal Abidin Hassan untuk merencana strategi bagi juara tiga trofi itu musim lepas.- Foto Astro Arena
Tiga tahun lalu ketika tranformasi pasukan Johor FC kepada Johor Darul Takzim (JDT), himpunan para pemain bintang mereka masih dalam pembikinan.
Kegagalan dalam meraih sebarang pencapaian bagaimanapun telah menguatkan lagi semangat Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk meneruskan misinya mengubah landskap bola sepak negara.
Maka pada 2014, Harimau Selatan mula menuai hasil dengan mengungguli Liga Super serta melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Pahang. Dengan rekod tanpa kalah kepada JDT sejak 2013 yang telah menghasilkan 16 gol, menjadikan perseteruan antara kedua pasukan semakin sengit dalam tempoh dua musim ini.
Sejurus tewas dalam final Piala Malaysia tahun lepas, jurulatih JDT, Bojan Hodak menganggap antara faktor kekalahan pasukan adalah kerana ketiadaan pemain sayap semulajadi walaupun memiliki Nurul Azwan Roya, Nazrin Nawi dan Jasazrin Jamaluddin.
Namun dengan kemasukan pemain baru seperti S. Kunanlan dan S. Chanturu akan membuat pasukan yang dibimbing Bojan Hodak lebih ampuh selain dibantu pemain sedia ada seperti Safiq Rahim, Mohd Shakir Shaari, Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz dan Amri Yahyah.
Pahang pula masih mempertaruhkan sentuhan Zainal Abidin Hassan untuk merencana strategi bagi juara tiga trofi itu musim lepas.
Sebagai rekod juga Pahang sudah bermain sebanyak tujuh kali di Piala Sumbangsih ini dengan tiga kali muncul Juara menewaskan Johor FA (1992), Sarawak (1993) dan Lions XII (2014).
Bagaimanapun agak mengejutkan Pahang gagal membawa masuk muka baru yang dikenali bagi memantapkan pasukan seperti yang diharapkan selain penambahan pemain daripada Harimau Muda A, D. Saavindran dan juga bekas pertahanan Kelantan iaitu Abdul Aziz Ismail.
Walaupun sebahagian besar para pemain dikekalkan, kehilangan wira dalam final Piala FA, Mohd Faizol Hussein ibarat ulangan episod kontroversi pemergian Amirulhadi Zainal.
Tahun lalu Faizol menjadikan Pahang sukar diduga di bahagian tengah bersama-sama dengan Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin. Barangkali pemain muda, Mohd Rizua Shafiqi Kamarulzaman perlu bersedia memainkan peranan besar musim ini.
Namun dengan pengalaman cetek dan tekanan selepas pasukan bergelar juara, Rizua Shafiqi harus diberi ruang.
Sekalipun bahagian sayap sering menonjol sebelum ini, kegoyahan di bahagian tengah akan memberi masalah besar kepada Pahang musim ini.
Sertai Liga Super Fantasi 2015 untuk berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik. Daftar sekarang secara PERCUMA!
#FAM #JDT #Johor Darul Takzim #Liga Malaysia #Piala Malaysia #Piala Sumbangsih
;