JDT lakar kemenangan selesa ke atas UiTM FC
Bernama
Julai 25, 2021 07:02 MYT
Julai 25, 2021 07:02 MYT
KUALA LUMPUR: Tiga gol dijaringkan pada babak kedua perlawanan membolehkan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) melakar kemenangan kesepuluh musim ini dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi.
Kemenangan 3-1 ke atas pasukan tercorot liga, UiTM FC menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora kekal menerajui takhta liga dengan mengumpul 33 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat Terengganu FC yang membelasah Perak FC 5-0 pada aksi pada Sabtu.
Tuan rumah yang ketinggalan 0-1 selepas pemain import baharu UiTM FC Joel Vinicious Silva Dos Anjos menolak masuk hantaran pemain tengah Yonhyun Kwon pada minit ke-43, menyamakan kedudukan lima minit selepas babak kedua bermula menerusi jaringan Gonzalo Cabrera yang menerima umpanan cantik pemain muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi.
Pemain gantian Muhammad Safawi Rasid menambah jaringan JDT pada minit ke-71 sebelum Bergson Da Silva melengkapkan gol kemenangan skuad Harimau Selatan pada minit ke-87.
Sementara itu, gol seawal minit pertama Manuel Hidalgo gagal membolehkan Sri Pahang FC meraih tiga mata apabila Melaka United berjaya mengikat skuad Tok Gajah dengan keputusan seri 1-1 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Gol pemain tengah Melaka United Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dua minit sebelum perlawanan tamat memaksa tuan rumah berpuas hati dengan satu mata pada Ahad.
Sri Pahang FC menghuni tangga kesembilan liga dengan 13 mata manakala Melaka United FC di tangga ke-10 selepas mengumpul 12 mata dan UiTM FC pula kekal di kedudukan tercorot dengan hanya dua mata.
Sementara itu, dalam aksi Liga Premier pula, gol tunggal Bruno Suzuki pada minit ke-78 membolehkan PDRM FC mengutip tiga mata selepas menewaskan Kelantan United FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Keputusan itu tidak mengubah kedudukan kedua-dua pasukan Liga Premier dengan Kelantan United FC kekal berada di tangga ketujuh liga dengan 16 mata manakala PDRM FC pula di tangga kelapan dengan 14 mata.
-- BERNAMA