JDT lakar kemenangan aksi terakhir Liga Super 2018
Bernama
Julai 28, 2018 00:11 MYT
Julai 28, 2018 00:11 MYT
Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT) menutup tirai liga musim ini dengan bergaya setelah mengatasi Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Harimau Selatan kendalian Raul Longhi mengutip 59 mata, sekaligus mengatasi pencapaian kutipan 58 mata yang diraih ketika muncul juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut pada 2016.
Pada aksi di Larkin, pemain import dari Argentina, Fernando Andres Marquez muncul wira skuad Harimau Selatan setelah meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-14 dan minit ke-48.
Dalam pada itu, PKNS FC melonjak dua anak tangga ke kedudukan ketiga carta Liga Super setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Perak di Stadium Shah Alam.
Empat gol skuad Semut Merah dijaringkan oleh Bruno Matos seawal minit kedua dan minit ke-76, Rafael Ramazotti (38') dan Romel Morales pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.
Perak meraih gol sagu hati menerusi pemain import dari Brazil, Gilmar Jose da Silva Filho pada minit ke-10 perlawanan.
Melaka turut meraih tiga mata berharga setelah menewaskan pasukan tercorot, Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Tiga gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi pada minit ke-48 dan minit ke-65, selain gol sendiri pemain tuan rumah, Mohd Nasriq Baharom pada minit ke-63.
Negeri Sembilan berjaya merapatkan jurang menerusi gol pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior pada minit ke-90.
Tiga lagi aksi terakhir Liga Super 2018 akan berlangsung esok, membabitkan pertemuan Kelantan dan Pahang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.
Kedah dan PKNP FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar serta perlawanan antara Selangor dan Terengganu FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. -- Bernama