JDT kongsi video tumpaskan 'rompakan bersenjata' di stadium
Nizam Bakeri
Februari 13, 2016 17:34 MYT
Februari 13, 2016 17:34 MYT
Video promosi terbaharu itu turut menampilkan hashtag #AlwaysAStepAhead yang dilihat sebagai mesej JDT sebagai kelab yang terkehadapan dalam arena bola sepak tempatan. - Foto Facebook/Johor Southern Tigers
Selepas mencipta fenomena dengan video pelancaran jersi yang berkualiti tinggi, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi mencuri tumpuan warga media sosial dengan satu lagi video promosi.
Video tiga minit itu bermula dengan adegan Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos yang diceroboh oleh beberapa perompak bersenjata.
Mereka dilihat melarikan beberapa bekas kaca yang menyimpan jersi rasmi pasukan.
Kehadiran para perompak dikesan oleh kamera litar tertutup dan petugas stadium segera menghubungi 'pasukan keselamatan' yang terdiri daripada pemain JDT untuk menyelamatkan keadaan.
Selepas dua jam disiarkan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers, video tersebut telah meraih lebih 334,000 tontonan dan 18,000 perkongsian.
Rata-rata netizen menafsir mesej yang cuba disampaikan oleh pemilik kelab Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai perisytiharan perang terhadap mana-mana pihak yang menjual atau membeli jersi ciplak.