JDT, KL City mara ke final Piala Malaysia

Bernama
November 26, 2021 00:50 MYT
Gonzalo Cabrera melebarkan jaringan dengan gol kedua pada minit ke-11. - Gambar/ FB JOHOR Southern Tigers
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) berada di landasan tepat untuk mengekalkan kejuaraan, selepas mara ke final ulang tahun ke-100 Piala Malaysia dengan membenam Terengganu FC (TFC) 4-1 secara agregat pada pusingan separuh akhir.
Pada aksi 'panas' di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu, skuad Harimau Selatan bermula garang apabila berjaya meledak tiga gol dalam 15 minit pertama, seolah-olah memberikan amaran kepada pasukan pelawat.
Skuad kendalian Benjamin Mora membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh kaki kiri penyerang dari Brazil, Bergson da Silva pada minit keenam, yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang TFC Mohd Suhaimi Husin.
Kelalaian barisan pertahanan skuad Penyu untuk mengawal perlawanan terus dihukum oleh juara Liga Super itu, apabila penyerang import dari Argentina Gonzalo Cabrera menggandakan jaringan empat minit kemudian.
Juara dua kali (2017, 2019) JDT, yang melakukan serangan bertali arus seperti hujanan peluru berpandu menambah derita buat pasukan kendalian Nafuzi Zain, selepas Bergson yang tidak dikawal, sekali lagi melepaskan rembatan kencang ke dalam gawang, kali ini dari jarak dekat pada minit ke-14.
Bagaimanapun, pesta dan keriangan JDT tidak bertahan lama apabila perancang tengahnya Safiq Rahim dilayangkan kad merah oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin dua minit kemudian, kerana mengasari dan 'menanduk' Muhammad Faisal Halim.
Namun, TFC yang juga juara edisi 2001, gagal menggunakan kelebihan beraksi menentang 10 pemain untuk bangkit merapatkan jurang, menyaksikan keputusan terikat 3-0 hingga wisel penamat.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lepas.
JDT melangkah ke peringkat empat terakhir selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada suku akhir, manakala TFC membenam Sarawak United FC 6-3.
Pada aksi final Piala Malaysia 2021 pada 9 malam Selasa (30 Nov) di Stadium Nasional Bukit Jalil, JDT bakal dicabar oleh juara tiga kali, Kuala Lumpur (KL) City FC yang melangkah ke pentas final selepas 32 tahun.
Aksi di Stadium Hang Jebat yang tergendala lebih kurang sejam akibat gangguan bekalan elektrik, berpihak kepada KL City dengan mengatasi Melaka United 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan.
Aksi separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, turut terikat 1-1.
Skuad 'The City Boys' terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit kesembilan, apabila J. Partiban meledak masuk bola hasil percubaan Muhammad Akram Mahinan, namun Melaka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-65.
Dalam penentuan penalti, Paulo Josue, Romel Morales, Indra Putra Mahayuddin, Hadin Azman dan Giancarlo Gallifuoco semuanya menepati sasaran untuk KL City, manakala Adriano Narcizo, Manuel Ott dan Sony Norde menjaringkan gol, namun percubaan Giovane Gomes terkena palang untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Bojan Hodak.
Sementara itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan berkata daripada 20,000 tiket untuk aksi final, setiap pasukan finalis akan diberikan sebanyak 9,000 keping tiket untuk dijual menerusi Tickethotline, manakala baki tiket pula komitmen MFL kepada penaja-penaja.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #JDT #Terengganu FC #mara ke final
;