JDT kekal di persada liga, Selangor tumbang di laman sendiri

Astro Arena
Julai 26, 2016 23:41 MYT
Pereyra Diaz diasak pemain Kelantan Mohamad Faris Shah Mohd Rosli pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin. - Foto Bernama
Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan penguasaan Liga Super selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan hasil jaringan Jorge Pereyra Diaz itu menggagalkan hasrat pesaing terdekat, Felda United, untuk merampas takhta selepas The Fighters turut menumbangkan Selangor 2-1 di Stadium Shah Alam.
Pada minit ke-28, berlaku keadaan kelam kabut di depan gawang Kelantan ketika Khairul Fahmi Che Mat sudah tewas, sebelum bola di kaki penyerang import Argentina itu berjaya dikeluarkan pemain Kelantan.
Tidak lama kemudian, Mohd Azinee Taib mencemaskan kubu pelawat dengan melakukan tandukan daripada bola sepakan penjuru yang memaksa Khairul Fahmi melompat sambil menepis keluar.
JDT tampak menemui rentak sebenar mereka apabila acap kali melakukan gerakan menarik di depan gol.
Kaptennya, Safiq Rahim, mengelirukan dua pertahanan The Red Warriors untuk mencari ruang melakukan lambungan deras, bagaimanapun percubaannya itu dinafikan palang ketika Khairul Fahmi sudah gagal mencapainya.
Wan Zack Haikal melarikan bola sebelum ia dijatuhkan Azinee dari belakang, sekali gus memaksa pengadil melayangkan kad kuning dan menghadiahkan sepakan percuma untuk Kelantan.
Bagaimanapun, sepakan itu mudah dipersia-siakan barisan penyerang Kelantan apabila Morgaro Gomis tidak cermat melakukan percubaan, selepas menerima hantaran pendek Wander Luiz.
Tidak sampai tiga minit permainan separuh masa kedua bermula, JDT meraih gol mudah menerusi tandukan Diaz yang menyambut hantaran Azammudin Akil dari sebelah kanan.
Kelekaan barisan pertahanan Kelantan yang tidak mengawal Diaz dan membenarkan Azammudin bergerak bebas menjadi punca jaringan tersebut.
Pada minit ke-54, sedikit kesilapan pemain JDT membenarkan Blazhe Ilioski meraih bola dan sempat melakukan lambungan ketika penjaga gol JDT, Izham Tarmizi, berada sedikit ke depan. Mujur sepakan itu hanya menemui sebelah tepi jaring.
Sepuluh minit kemudian, Juan Martin Lucero muncul melakukan rembatan leret yang sedikit tersasar.
Kemasukan Indra Putra Mahayuddin bagi menggantikan pemain Daudsu Jamaluddin, jelas menunjukkan jurulatih, Velizar Popov, ingin merancakkan serangan Kelantan dalam permainan yang masih berbaki 30 minit.
Kelantan terdesak untuk memburu gol dengan Popov turut dilihat tidak senang duduk, bagaimanapun kelebihan satu gol berjaya dikekalkan JDT hingga tamat perlawanan.
Manakala dalam aksi di Stadium Shah Alam, Felda mengejutkan Selangor seawal minit ketiga hasil jaringan Francis Forkey Doe, yang tenang menewaskan Khairul Azhan Khalid, selepas dia menerima bola lambungan Zah Rahan Krangar.
Gol penyamaan tuan rumah hadir pada minit ke-63, dilakukan Patrick Ronaldinho yang berjaya menyudahkan peluang selepas hantaran Hazwan gagal ditangkap kemas Farizal.
Penyerang kelahiran Liberia, Forkey Doe, sekali lagi muncul menyumbang gol buat Felda pada minit ke-71, selepas menyempurnakan hantaran dekat Zah Rahan untuk menghadiahkan tiga mata kepada skuadnya.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, menyaksikan tuan rumah, Pahang tewas 2-1 kepada Perak.
Pertemuan antara T-Team dan Sarawak yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula berkesudahan 2-1 berpihak kepada Sarawak, manakala Pulau Pinang menewaskan Kedah 3-2 di Stadium Bandaraya.
#JDT #Johor Darul Ta'zim #Kelantan #Liga Super #stadium Larkin
;