JDT jalani kempen pramusim di Sepanyol 14-30 April

Bernama
Mac 15, 2024 10:20 MYT
Susulan kejayaan kempen pramusim sebelum ini di Dubai, JDT teruja untuk menghadapi cabaran baharu di Sepanyol sebagai persiapan pasukan menghadapi musim 2024-25. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
JOHOR BAHRU: Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan menjalani kempen pramusim di Sepanyol dari 14 hingga 30 April ini dengan tujuh perlawanan persahabatan dijadualkan dalam tempoh dua minggu tersebut.
"Skuad Harimau Selatan akan berpangkalan di Pusat Bola Sepak Melia Villaitana, Benidorm, Alicante," menurut JDT dalam hantaran di laman media sosial kelab itu semalam.
Menurut hantaran itu, susulan kejayaan kempen pramusim sebelum ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, JDT teruja untuk menghadapi cabaran baharu di Sepanyol sebagai persiapan pasukan menghadapi musim 2024-25.
JDT menamatkan musim lepas dengan empat kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut.
Pasukan itu turut memenangi Liga Super Malaysia 10 kali berturut-turut bermula 2014.
-- BERNAMA
#JDT #perlawanan persahabatan #kempen pramusim #sepanyol
;