JDT ikat bekas bintang Real Madrid
Bernama
Oktober 5, 2024 23:22 MYT
Oktober 5, 2024 23:22 MYT
JOHOR BAHRU: Bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez telah menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), menurut rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.
Rodriguez, 31, dari Sepanyol pernah beraksi bersama Cristiano Ronaldo di Real Madrid dan bermain di beberapa kelab besar dan divisyen tertinggi.
Selain Real Madrid, Rodriguez turut beraksi bersama Paris St Germain, Sampdoria, Stoke City dan Real Betis, namun beliau dilaporkan tidak menyertai mana-mana kelab selepas meninggalkan kelab Brazil, Coritiba pada Januari lepas.
"Pemenang dua kali trofi Liga Juara-Juara UEFA itu kini bersama keluarga JDT. Selamat datang ke gelanggang juara," menurut hantaran itu.
JDT sebelum ini telah mengikat beberapa pemain baharu antaranya Jorge Obregon, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Eddy Israfilov yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia.
-- BERNAMA