Pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mengekalkan kedudukan tangga teratas Liga Perdana selepas menang selesa 5-2 ke atas wakil Pahang, Kuantan FA di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Johor Baharu, malam tadi.

Lima gol skuad 'Harimau Selatan' dijaringkan oleh Shafiq Shaharudin pada minit ke-30 dan 59'; kapten pasukan, Shahril Ishak (36' dan 56') dan Leandro Velazquez pada minit ke-74.

Dua gol Kuantan FA disumbang oleh pemain import dari Montenegro, Milan Purovic pada minit ke-33 dan Razreen Jesni pada minit ke-78.

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Negeri Sembilan mengekalkan kedudukan tanga kedua liga selepas seri 1-1 dengan pasukan tercorot liga, SPA Putrajaya FC.

Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Forkey Doe seawal minit ke-21 sebelum Nik Azlam Nik Januaha menyamakan kedudukan untuk pasukan SPA Putrajaya FC pada minit ke-81.

Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, pasukan tuan rumah Pulau Pinang naik dua anak tangga ke kedudukan ketiga liga selepas menang tipis 1-0 ke atas pasukan PKNS FC, hasil sepakan penalti pemain import, Beto Goncalves pada minit ke-44.

Di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak, Fakrul Aiman menjaringkan gol pada minit ke-23 untuk membantu pasukan bawahan liga, DRB Hicom FC mengalahkan Kuala Lumpur 1-0.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan UiTM FC melakar kejutan selepas mengalahkan Sabah 2-1.

Pasukan tuan rumah bermula garang menerusi jaringan Raslam Khan pada minit ke-22 sebelum beliau menggandakan jaringan pada minit ke-42.

Sabah berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi pemain import dari Senegal, El Hadji Diouf pada penghujung babak pertama perlawanan.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Kedah dan T-Team pula terpaksa berkongsi satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan.

Aksi Liga Perdana akan bersambung semula pada 6 Mac ini bagi memberi laluan pusingan pertama Piala FA yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Feb ini.