JDT buka lembaran baru bola sepak Malaysia

Astro Arena
September 16, 2015 01:36 MYT
JDT menang bergaya ke atas pasukan South China FC 3-1 di Mongkok dengan 10 orang pemain, untuk menang secara agregat 4-2.
Pasukan Johor Darul Takzim (JDT), melakar sejarah baru dalam bola sepak tanah air apabila muncul pasukan Liga Malaysia pertama yang berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFC.
Juara Liga Super itu menang bergaya ke atas pasukan South China FC 3-1 di Mongkok dengan 10 orang pemain, untuk menang secara agregat 4-2.
Safee Sali meneruskan sentuhan berbisanya sejak kebelakangan ini dengan menyumbat dua gol.
Terlebih dahulu, gol pembukaan Harimau Selatan hasil rembatan kaki kiri Mahali Jasuli pada minit ke-25, hanya sempat bertahan dua minit sebelum dipadamkan Mahama Awal.
Tetapi JDT bingkas untuk memperkemaskan permainan mereka apabila Safee kembali meletakkan JDT didepan dengan berada di tempat yang tepat untuk menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-29.
JDT tersentak apabila Luciano Figueroa dilayangkan kad merah kerana menyiku pihak lawan dalam perebutan di udara selang beberapa minit kemudian.
Walaupun tempang, anak buah Mario Gomez masih mampu mengukuhkan kedudukan sekali lagi menerusi Safee ketika menuju waktu rehat separuh masa pertama.
Hasrat tuan rumah untuk bangkit bagaimanapun semakin sukar apabila JDT berjaya mengimbangi perlawanan untuk tempoh 45 minit seterusnya.
#bola sepak #JDT #Johor Darul Takzim #Liga Malaysia #piala afc