JDT benam BG Pathum United 4-1, tamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga

Bernama
Disember 12, 2023 23:29 MYT
Pemain JDT Bergson Da Silva melakukan tendangan ke arah gol yang gagal diselamatkan penjaga gol BG Pathum United Chatchai Bootprom untuk gol kedua JDT. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) menamatkan saingan Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tangga ketiga, di belakang Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai selepas membenam BG Pathum United 4-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini hari ini.
Babak pertama perlawanan menyaksikan permainan sedikit perlahan antara kedua-dua pasukan, namun anak didik Surachai Jaturapattarapong dilihat lebih banyak menguasai perlawanan dengan melakukan beberapa tekanan ke gawang gol JDT, dan berjaya mendahului menerusi jaringan Igor Sergeyev pada minit ke-28.
Meskipun skuad JDT memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti setelah pemain Akhyar Rashid dijatuhkan pemain Danilo Almieda, namun ia gagal dimanfaatkan apabila sepakan Juan Muniz gagal menembusi benteng pasukan lawan.
Keputusan kekal 1-0 hingga separuh masa pertama dengan BG Pathum United kekal mendahului.
Bersambung masa kedua, permainan menjadi 'panas' apabila pasukan pelawat dirundum malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain, apabila Damilo Alves dilayangkan kad merah selepas bola terkena tangan sekali gus menghadiahkan sepakan penalti, yang kemudiannya disempurnakan Bergson Da Silva pada minit ke -55.
Anak didik Esteban Solari terus meningkatkan intensiti dan menguasai permainan, sekali gus menambah derita BG Pathum apabila berjaya menambah jaringan selang 11 minit menerusi jaringan Bergson pada minit ke-66, sebelum jaringan Hendrick Dos Santos yang berjaya menyempurnakan hantaran dari Arif Aiman pada minit ke-86.
Bintang muda berbakat besar Arif Aiman kemudiannya mengegarkan Stadium Sultan Ibrahim, apabila mempamerkan aksi bergaya dengan membawa bola dari tengah padang hingga meluncur ke depan gol lawan dan melepasi beberapa pemain BG Pathum untuk membolosi gawang lawan pada masa kecederaan (90+2).
Kedudukan 4-1 yang berpihak kepada JDT kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan JDT menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga dengan sembilan mata, di belakang Kawasaki Frontale pada kedudukan pertama dengan 16 mata, diikuti Ulsan Hyundai (10 mata) manakala BG Pathum United di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan I menyaksikan Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai terikat 2-2, pada aksi yang berlangsung di Stadium Ulsan Munsu di Korea Selatan.
Pasukan pelawat bermula garang apabila Daiya Tono mendahului pada minit ke-17, sebelum Tatsuki Seko menggandakan jaringan pada minit ke-31, namun kealpaan skuad Jepun itu menghukum mereka apabila Martin Adam menyempurnakan jaringan sebelum masa pertama tamat (minit ke-44).
Bersambung babak kedua, Ulsan Hyundai tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila Martin menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53, namun tiada sebarang jaringan tambahan yang berjaya dilakukan kedua-dua pasukan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Terdahulu, Kawasaki Frontale, yang merupakan juara Liga J1 empat kali, mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan selepas mengumpul 16 mata, selepas enam perlawanan.
Bagaimanapun Ulsan Hyundai masih perlu menunggu sehingga esok sekiranya mereka layak, apabila enam naib juara kumpulan akan dihantar melalui susunan mengikut mata yang akan diperolehi di mana empat naib juara terbawah akan tersingkir.
-- BERNAMA
#JDT #Johor #BG Pathum United #Liga Juara-Juara Asia #ACL
;