JDT balas dendam ke atas PKNS, Pahang menang tipis

Bernama
April 20, 2019 00:40 MYT
Muhammad Safawi Rasid (kiri) diasak keras pemain PKNS FC Muhamad Faizat Mohamad Ghazali (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, 20 April, 2019. --fotoBERNAMA
Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya membalas dendam terhadap PKNS FC apabila mencatat kemenangan 3-1 di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin untuk terus kekal di persada carta liga.
Pada aksi malam ini, skuad Harimau Selatan itu yang tersingkir daripada pusingan ketiga Piala FA setelah tumpas kepada PKNS FC, bermula garang dengan jaringan seawal minit kelapan menerusi rembatan kencang Mohd Afiq Fazali.
Pemain import dari Argentina, Gonzalo Cabrera kemudian menggandakan jaringan buat tuan rumah melalui sepakan penalti pada minit ke-14, selepas bola terkena tangan pemain pertahanan PKNS FC.
Skuad Semut Merah berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan pemain import dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-48, bagaimanapun jaringan Safawi Rashid pada minit ke-84 mengesahkan kemenangan selesa buat JDT.
Pada Rabu lalu, PKNS FC mengejutkan JDT untuk mara ke suku akhir Piala FA menerusi kemenangan tipis 1-0 di venue yang sama.
Sementara itu, jaringan tunggal pemain import dari Perancis, Herold Mark Goulon membantu Pahang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh untuk kekal di tangga kedua liga.
Perlawanan itu juga menyaksikan skuad Tok Gajah terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pengadil, Razlan Joffri Ali melayangkan kad merah kepada Muhammad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-72 kerana mengasari pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.
Dalam pada itu, Selangor berjaya memintas Kedah untuk berada di kedudukan ketiga carta menerusi kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC di Stadium Shah Alam, sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan.
Skuad "The Red Giants' membuka jaringan seawal minit ke-14 menerusi sepakan penalti pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva susulan kekasaran dilakukan ke atas Abdul Halim Saari.
Pasukan tuan rumah berjaya menggandakan jaringan menerusi rembatan leret pemain kebangsaan, Syahmi Safari pada minit ke-79, sebelum PKNP FC mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-85 melalui rembatan kencang Fazrul Hazli Kadri dari luar kotak penalti.
Kuala Lumpur pula berjaya meraih kemenangan kedua musim ini menerusi jaringan Ashri Chuchu pada minit ke-50 untuk menewaskan jirannya, Petaling Jaya (PJ) City FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Pada aksi Liga Premier, Sabah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC di Stadium Likas untuk kekal di tempat kedua liga dengan kutipan 18 mata, mengekori JDT II yang berada di tempat teratas dengan kelebihan tiga mata dan satu perlawanan.
Sabah membuka jaringan menerusi tandukan Alto Linus pada minit ke-19, sebelum UKM FC menyamakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi Mohd Hafizi Amiruddin, namun pasukan tuan rumah berjaya mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Dendy Lowa (minit ke-45) dan pemain import dari Serbia, Rodoljub Paunovic (minit ke-59).
Negeri Sembilan pula berpesta gol apabila membelasah Kelantan 5-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Penyerang Muhammad Ferris Danial Mat Nasir muncul wira Negeri Sembilan apabila melengkapkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-12, 43 dan 50, selain jaringan Jose Almir Barros Neto (minit ke-54) dan Mohammad Ridzuan Abdunloh Pula (minit ke-56).
Kelantan pula merapatkan jurang gol menerusi pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior pada minit ke-15 dan Mohamad Hakimi Abdullah pada masa kecederaan babak kedua.
Terdahulu, pada aksi sebelah petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, jaringan pemain import dari Liberia, Patrick Wleh pada minit ke-53 membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menentang Terengganu FC II yang mendahului menerusi jaringan pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel N'Guessan pada minit ke-40.
-- BERNAMA
#bola sepak #JDT #Kedah #liga m #Liga Premier #Liga Super #Pahang #Perak #Piala FA #PKNS #Safawi Rashid #Selangor
;