Jazeman, Hafizh Syahrin di demo Petronas Motorsport

Bernama
Mac 16, 2013 08:30 MYT
Peminat sukan bermotor di negara ini mendapat hadiah istimewa hujung minggu ini apabila berpeluang menonton dari dekat aksi pelumba handalan Malaysia, Jazeman Jaafar dan Hafizh Syahrin Abdullah.
Dua pelumba terbaik negara itu akan menjayakan Perlumbaan Pertunjukan Petronas Motorsport di Jalan P. Ramlee dan Jalan Ampang, di sini, sempena edisi ke-15 Formula One (F1) Grand Prix Malaysia.
Malaysia akan menjadi tuan rumah pusingan kedua Kejohanan F1 Dunia di Litar Antarabangsa Sepang dari 22 hingga 24 Mac.
Dalam kenyataan Jumaat, Petronas Motorsport berkata perlumbaan pertunjukan itu diadakan untuk membawa perlumbaan F1 dan sukan bermotor serba pantas, yang melibatkan jentera dua roda dan empat roda, ke jalan raya untuk tontonan orang ramai.
Jazeman, 19, naib juara British F3 International Series tahun lepas, akan mengetuai demonstrasi sukan bermotor itu.
Pelumba muda ini bertuah kerana mendapat peluang sekali seumur hidup untuk mempamerkan bakatnya dengan memandu kereta demo Mercedes AMG Formula One Team.
Sementara itu, Hafizh Syahrin, yang membuat kejutan melalui penyertaan secara wildcard pada perlumbaan Moto2 dengan menduduki tempat keempat pada MotoGP Grand Prix Malaysia tahun lepas, akan mempamerkan kemahiran luar biasanya dengan menunggang jentera replika Moto2nya.
Selain mereka, pertunjukan itu akan turut dijayakan dua pemandu Pembangunan Bakat Petronas, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jeffri.
Pertunjukan itu juga akan melibatkan penyertaan pelbagai pasukan yang terletak di bawah portfolio Petronas Motorsport.
Antaranya ialah Petronas Hong Leong Yamaha, Petronas Syntium Moto AHM dan Petronas Yamaha-CKJ dari Petronas Asia Road Racing Championship (ARRC) dan Kejohanan Cub Prix Petronas AAM Malaysia.
#Formula One (F1) Grand Prix Malaysia. #Hafizh Syahrin Abdullah #JAZEMAN JAAFAR #motosport #pelumba
;