Jawatankuasa RTG bermesyuarat minggu depan, kaji keperluan Azizulhasni - Hannah Yeoh

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 10, 2023 11:40 MYT
Hannah berkata berkata semua pihak diharap tidak risau dengan perkembangan tersebut dan percaya isu itu dapat diselesaikan dengan baik. - Foto fail/BERNAMA
BUTTERWORTH: Jawatankuasa Road to Gold (RTG), akan bermesyuarat pada minggu hadapan bagi membincangkan dan mengkaji keperluan atlet negara susulan luahan kekecewaan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) .
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, KBS mengambil perhatian serius permintaan atlet negara tersebut dan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada keperluan atlet berbasikal negara demi menjayakan hasrat negara meraih pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata semua pihak diharap tidak risau dengan perkembangan tersebut dan percaya isu itu dapat diselesaikan dengan baik.
"Mesyuarat ini akan berlangsung mingdu hadapan, kita akan adakan mesyuarat RTG dan semua hasrat atlet terpilih ini akan dikaji oleh Jawatanluasa RTG.
"Saya telah hubungi azizul menerusi koordinator kita Datuk Stuart Ramalingam dan kita akan usahakan yang terbaik untuk atlet kita untuk pastikan peluang Malaysia dapat pingat emas itu cerah," katanya.
RTG telah ditubuhkan terutamanya bagi menyelesaikan kesemua 'halangan' dihadapi para atlet, yang akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 pada 26 Julai hingga 11 Ogos, tahun hadapan.
Hannah berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya, Jalan Bagan Jermal, Butterworth pada Sabtu.
Baru-baru ini Mohd Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terhadap kegagalan MSN menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.
Pelumba dengan gelaran 'The Pocket Rocketman', itu berkata beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia, tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai, sedangkan Sukan Olimpik Paris akan berlangsung dalam tempoh setahun.
Pemain berusia 35 tahun itu, yang memenangi pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, berkata walaupun beliau menerima keputusan MSN untuk memindahkan pusat latihan dengan hati terbuka, namun kepulangannya ke tanah air telah tidak disertai dengan sistem sokongan lengkap dan bertaraf dunia.
Sememtara itu, Koordinator program RTG Datuk Stuart Ramalinggam dilaporkan berkata beliau mengetahui isu yang dihadapi juara keirin dunia 2017 itu dengan Majlis Sukan Negara (MSN), dan berharap keputusan dapat dibuat ketika mesyuarat RTG .
#RTG #Hannah Yeoh #Azizulhasni Awang #Sukan Olimpik Paris 2024
;