Jawatankuasa RTG 'berguru' di Jepun demi emas pertama
Bernama
April 15, 2023 05:01 MYT
April 15, 2023 05:01 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam misi melahirkan atlet yang mampu menghadiahkan pingat emas pertama untuk negara dalam Sukan Olimpik, Jawatankuasa Road To Gold (RTG) terbang ke Jepun untuk berguru dan melihat lebih dekat kelengkapan serta sistem sokongan atlet yang ada di Negara Matahari Terbit itu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi catatan di akaun media sosial rasminya memaklumkan delegasi yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh itu kini berada Nippon Sport Science University (NSSU) di Tokyo dan Yokohama bagi mempelajari sistem sokongan atlet yang diberikan.
"NSSU memiliki rekod hebat dalam penghasilan atlet-atlet bertaraf dunia dan sudah melahirkan 137 pemenang pingat untuk Kontinjen Jepun di temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik, termasuk 41 pingat emas keseluruhan.
"Dalam lawatan itu Jawatankuasa RTG telah berpeluang bertemu dengan pimpinan NSSU, berdialog serta mengadakan sidang media bersama dan mereka bersedia menawarkan kerjasama serta sistem sokongan bukan sahaja untuk atlet tetapi untuk jurulatih juga," menurut catatan itu.
KBS memaklumkan, fokus lawatan kerja itu juga membincangkan tentang aspek wanita dalam sukan dan diharap kerjasama dua negara itu dapat meningkatkan mutu kualiti sukan di Malaysia dalam usaha mencapai impian emas Olimpik.
Ahli jawatankuasa lain yang menyertai lawatan itu adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan penyelaras RTG Stuart Ramalingam.
Hannah dan Mohamad Norza merupakan pengerusi bersama RTG.
Pada Februari lepas, MSN dan MOM telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan NSSU yang membuka peluang perkongsian pengetahuan serta kepakaran berkaitan bidang teknologi sains sukan dan pendidikan jasmani dengan universiti yang dikenali sebagai "Nittaidai".
Malaysia yang menyertai Olimpik musim panas sejak edisi Melbourne 1956 setakat ini masih kempunan untuk meraih pingat emas dengan pencapaian terbaik sekadar empat perak dan satu gangsa di edisi Rio 2016.
-- BERNAMA