Jawatankuasa Pemilihan KOM tolak rayuan Hup Wei ke Hanoi

Sinar Harian
Mac 12, 2022 07:37 MYT
Menurut Muthu, Jawatankuasa Pemilihan KOM mendapati pencapaian atlet lain mengatasi pencapaian Hup Wei (gambar) walaupun dia telah mencuba sedaya upaya. - Gambar fail/BERNAMA
HASRAT atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei untuk mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Hanoi pada Mei depan tidak kesampaian apabila rayuannya ditolak Jawatankuasa Pemilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Jumaat.
Menurut Presiden KOM, Datuk SM Muthu, jawatankuasa itu juga memilih Mohamad Eizlan Dahalan bagi menggalas cabaran Malaysia dalam acara lompat tinggi setelah menilai dengan teliti beberapa kriteria yang disifatkan wajar.
“KOM amat memuji pencapaian serta pengorbanan Hup Wei untuk negara selama ini dan melihat dia sebagai satu ikon olahraga dalam dan luar negara. Malah permohonan rayuan Hup Wei pada 10 Mac telah dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan KOM.
“Bagaimanapun seperti diketahui semua atlet telah pun diberikan tempoh satu tahun untuk mencapai had kelayakan Sukan SEA sebelum tarikh pertandingan.
“Semua atlet juga diberikan landasan sama untuk melayakkan diri melalui pencapaian tertinggi yang dapat mengatasi pencapaian tempat ketiga di Sukan SEA lalu,” kata Muthu.
BACA: Sukan SEA Hanoi: Hup Wei akan bersara jika tidak terpilih
Jelas Muthu lagi, bagi acara lompat tinggi, Hup Wei telah pun menyertai tiga pertandingan sama sekali gus bersaing dengan atlet lain.
Katanya, Jawatankuasa Pemilihan KOM mendapati pencapaian atlet lain mengatasi pencapaian Hup Wei walaupun dia telah mencuba sedaya upaya.
“Beberapa kaedah lain juga telah diambil kira untuk menyenaraikan atlet ke Sukan SEA selain pencapaian.
“KOM juga berharap Hup Wei tidak berasa kecewa kerana dia telah pun menyertai beberapa edisi Sukan SEA sebelum ini. Bagaimanapun, sekiranya Hup Wei menunjukkan prestasi cemerlang dalam sebarang kejohanan, KOM sedia menyokongnya untuk ke Sukan Asia atau mana-mana kejohanan utama lain.
“KOM sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Hup Wei kerana telah menjadi seorang atlet olahraga berbakat tinggi dalam disiplin lompat tinggi untuk negara,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian
#lompat tinggi #Lee Hup Wei #Sukan SEA Hanoi #Jawatankuasa Pemilihan KOM
;