Jaringan Nuraini bawa Malaysian Tigress raih tempat kelima, dapat slot kelayakan Olimpik
Bernama
Oktober 7, 2023 17:31 MYT
Oktober 7, 2023 17:31 MYT
HANGZHOU: Jaringan lewat permainan tonggak pertahanan Nuraini Abdul Rashid berjaya membantu skuad hoki wanita negara menutup kempen Sukan Asia Hangzhou 2022 di tempat kelima selepas mengatasi Thailand 2-1, dalam perlawanan penentuan di Stadium Gongshu Canal Sports Park hari ini.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim meraih satu daripada empat slot ditawarkan pada Sukan Asia kali ini untuk beraksi pada Kelayakan Sukan Olimpik 2024 berlangsung di Changzhou, China dan Valencia, Sepanyol dari 13 hingga 21 Jan tahun depan.
Pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam hari ini, Thailand terlebih dahulu mengejutkan skuad kebangsaan pada minit kelima menerusi jaringan padang Inpa Kunjira.
Tersentak dengan jaringan lawan, skuad negara memperkemaskan corak permainan mereka bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang Hanis Nadiah Onn yang memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-12.
Pukulan sudut penalti sekali lagi membawa tuah buat negara apabila Nuraini menyumbat gol kemenangan empat minit sebelum perlawanan tamat sekali gus membawa pasukan negara beraksi di pusingan Kelayakan Sukan Olimpik 2024 tahun depan.
Bercakap selepas perlawanan, Mohd Nasihin memuji anak buahnya yang dapat menyerap tekanan selepas ketinggalan di awal permainan dan bangkit memberikan persembahan bertenaga untuk mencari kemenangan.
Beliau pada masa sama optimis bahawa prestasi Malaysian Tigress mampu berkembang lebih baik sekiranya mereka mendapat lebih banyak pendedahan di peringkat antarabangsa.
Mohd Nasihin juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Konfederasi Hoki Malaysia dan peminat atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sepanjang beraksi di Hangzhou.
Skuad hoki wanita negara tidak pernah beraksi di Sukan Olimpik sejak edisi pertama acara tersebut dipertandingkan di Moscow pada 1980.
-- BERNAMA