Jaringan lewat Telles sahkan kemaraan Porto
Astro Arena
Mac 7, 2019 10:00 MYT
Mac 7, 2019 10:00 MYT
PORTO 3 AS ROMA 1
(Porto mara dengan agregat 4-3 )
Alex Telles menjaringkan gol penalti pada minit ketiga masa tambahan untuk memastikan Porto menewaskan AS Roma 3-1 dan mara ke suku akhir menerusi agergat 4-3 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Do Dragao, awal pagi tadi.
Roma membawa kelebihan selepas menewaskan Porto 2-1 dalam perlawanan pertama Stadium Olimpico pertengahan bulan lalu, namun Porto memadam kelebihan itu menerusi gol jarak dekat Tiquinho Soares dalam babak pertama.
Daniele De Rossi kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, namun Moussa Marega menjadikan kedudukan 2-1 dalam babak kedua untuk membawa perlawanan ke masa tambahan.
Perlawanan tersebut seakan-akan perlu berlarutan ke penentuan penalti, namun tindakan Alessandro Florenzi menarik baju Fernando memaksa pengadil perlawanan, Cuneyt Cakir, memberikan sepakan penalti kepada Porto -- selepas ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) -- yang kemudian disudahkan Telles untuk membawa pasukan itu ke suku akhir buat kali pertama sejak empat tahun lalu.
Penyingkiran itu semakin meresahkan ketua jurulatih Roma, Eusebio Di Francesco, selepas pasukan itu turut terkeluar daripada kelompok empat terbaik Serie A selepas ditewaskan Lazio Ahad lalu dan mereka kini tidak lagi berpeluang untuk merebut sebarang kejuaraan musim ini.
Porto, bagaimanapun, menjadi pasukan Portugal pertama menewaskan lawan dari Itali sejak 2005 dan skuad kendalian Sergio Conceicao itu kini boleh meneruskan impian mereka untuk memburu kejuaraan Eropah sambil meneruskan penguasaan mereka dalam Liga Primeira.
Porto menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-26 selepas Kostas Manolas, yang melakukan penampilannya yang ke-200 buat Roma, ditewaskan di kawasan tengah sebelum hantaran lintang Marega menewaskan penjaga gol pelawat, Robin Olsen, dan Soares menolak masuk bola ke gawang yang tidak dijaga itu.
Namun, Roma kembali memperoleh kelebihan selepas Diego Perotti dijatuhkan Eder Militao dalam kawasan penalti dan De Rossi memperdayakan Iker Casillas pada minit ke-37.
Lorenzo Pellegrini kemudian menggantikan De Rossi pada penghujung babak pertama ketika tandukan Soares hampir-hampir membantu Porto mengikat kedudukan agregat.
Olsen kemudian melakukan aksi menyelamat hebat bagi menafikan usaha Marega dalam babak kedua, namun dia jelas tidak terdaya ketika pemain sama itu melakukan voli gemilang susulan hantaran lintang Corona.
Perotti harus dipersalahkan ketika dia mensia-siakan peluang dari jarak 12 ela sebelum perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 3-3.
Marega kemudian melakukan percubaan awal dalam masa tambahan sebelum Edin Dzeko terlepas dua peluang keemasan berturut-turut buat tuan rumah.
Bagaimanapun, pemain gantian, Maxi Pereira, melakukan hantaran lintang pada minit ke-117 yang memaksa Florenzi menarik baju Fernando dalam kawasan penalti.
Telles kemudian tidak mensia-siakan peluang itu untuk menjaringkan gol yang membawa Porto ke suku akhir.
#AS Roma
#Itali
#Liga Juara-Juara Eropah
#Porto
#Portugal
#sepakan penalti
#tarik baju
#ulang tayang
#VAR
#video
#Video Bantuan Pengadil