Jarak usia bukan halangan hasil kombinasi mantap
Bernama
Oktober 13, 2018 06:19 MYT
Oktober 13, 2018 06:19 MYT
Biarpun jarak usia yang jauh, atlet para ping pong, Ting Ing Hock, 53, menyifatkan rakan regunya, Chee Chao Ming, 21, sebagai gandingan mantap.
Menurutnya, gabungan itu membawa kepada kejayaan mereka di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.
"Dia (Chao Ming) adalah pasangan yang terbaik. Kerana itu, kita lebih fokus dalam acara beregu.
"Malah, kita sama-sama jalani latihan di China, sebulan sebelum pertandingan demi memantapkan lagi prestasi," katanya pada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sejurus kepulangannya dari Jakarta, di sini, malam tadi.
Ketibaan sebahagian kontinjen atlet paralimpik negara itu disambut oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Buat julung kalinya, skuad ping pong para negara merangkul emas di Sukan Para Asia Jakarta apabila Ing Hock dan Chao Ming mengungguli acara kategori TT8-9.
Mereka menewaskan gandingan Indonesia, Prahasta Mohamad Rian dan Kusnanto Kusnanto 11-7, 8-11, 11-6 pada perlawanan akhir.
"Bukan mudah untuk menang dan ini adalah kali pertama kita memenanginya. Kita rasa bangga kerana dapat membantu menyumbangkan pingat emas kepada negara dalam temasya ini," katanya.
Pada masa sama, Ing Hock berkata, beliau sedang mempersiapkan Chao Ming untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
"Chao Ming adalah pemain harapan untuk ke Sukan Paralimpik 2020.Oleh itu, dia perlu berusaha dengan lebih lagi, selepas ini," katanya.
Sementara itu, atlet para renang negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, 23, menganggap kejayaannya di Sukan Para Asia 2018 sebagai satu titik permulaan yang baik dalam mengembangkan kariernya itu.
Muhammad Nur Syaiful memperbaharui rekod acara 50m lelaki gaya bebas S5 (kecacatan anggota kaki) selepas menamatkan persaingan dengan masa 34.09 saat (s) untuk memadam rekod lama milik perenang Vietnam, Vo Thanh Tung (35.56s) yang dilakukan di Guangzhou pada 2010.
"Alhamdulillah, ini adalah permulaan yang baik. Saya juga tidak sangka dapat pecahkan rekod. Kalau ikutkan, pihak lawan hanya ketinggalan beberapa saat. Tetapi, saya pun dah mencuba dengan sedaya upaya," katanya.
Beliau juga menyumbangkan satu perak dalam acara renang kategori lelaki 200m Gaya Bebas.
Beliau berkata, tumpuannya selepas ini adalah di Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung di Sarawak selain Sukan Para ASEAN 2019 di Manila.
-- BERNAMA
#Ahmad Shapawi Ismail
#atlet paralimpik
#Chee Chao Ming
#Indonesia
#Jakarta
#ping pong
#pingat emas
#sukan
#Sukan Para Asia
#Ting Ing Hock
#usia