Jangan timbulkan kekecohan pada perlawanan piala Sultan Selangor 2016 - Polis
Bernama
Mei 7, 2016 15:22 MYT
Mei 7, 2016 15:22 MYT
Polis memberi amaran keras kepada penonton perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2016 di Stadium Shah Alam malam ini supaya tidak menimbulkan kekecohan atau membakar suar di dalam dan luar stadium.
ACP Shafien Mamat, ACP Shafien Mamat berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan sebarang kesalahan atau kekecohan.
Beliau berkata 1,351 pegawai serta anggota polis ditugaskan sepanjang perlawanan berlangsung selain 80 pegawai serta anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
"Polis menasihatkan semua penyokong supaya tidak membawa budaya hooligan atau menimbulkan huru hara sepanjang perlawanan berlangsung sebaliknya tunjukkanlah semangat kesukanan yang tinggi.
"Orang ramai diminta mematuhi arahan polis semasa meletak kenderaan serta ketika melalui jalan keluar masuk bagi memudahkan semua pihak dan kami yakin, kemudahan lot meletak kenderaan adalah mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata amaran berkenaan adalah demi menjaga imej negara berikutan perlawanan itu disiarkan secara langsung malah turut ditonton negara luar.
Shafien juga menggalakkan penyokong dan penonton supaya hadir ke stadium lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada saat akhir sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Ini kerana, katanya, 70,000 penyokong dan penonton dijangka menghadiri perlawanan itu malam ini dan kehadiran yang lebih awal turut dapat mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk stadium.
Menurutnya, tiga pintu masuk ke stadium akan dibuka seawal 5 petang dan pintu A adalah bagi kemasukan penyokong Singapura manakala pintu C serta D bagi penyokong Malaysia.
Perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor 2016 merupakan perlawanan persahabatan antara pasukan Selangor menentang Singapura yang diadakan setiap tahun bagi mengimbas kembali tradisi kedua-dua pasukan dalam sukan berkenaan.