'Jangan tertekan kerana tiada Chong Wei' - Iskandar Zulkarnain

Astro Arena
Februari 1, 2016 14:12 MYT
ISKANDAR: Perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei, ketika ini saya cuma fokus mahu perbaiki segala kelemahan yang ada.
PEMAIN perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu skuad pemain muda tidak tertekan dengan ketiadaan Datuk Lee Chong Wei dan mengharapkan semangat antara satu sama lain pada kejohanan berpasukan Asia di Hyderabad, India nanti.
Baru sahaja tamat saingan dalam GP Emas India tempoh hari, kini fokus Iskandar pastinya tertumpu dalam aksi kelayakan Piala Thomas pada 15 Februari ini.
Dia menyifatkan semangat berpasukan yang kuat perlu ada dalam diri pemain pemain baharu untuk menjadi kunci buat mereka beraksi cemerlang meskipun tanpa jaguh nombor satu negara itu.
Malah, tanggungjawab yang digalas oleh mereka cukup besar di India nanti dan tidak boleh dipandang ringan.
"Kita pun pernah berdepan situasi ini sebelum ini ketika di Axiata Cup. Kami di sini semuanya hampir sebaya dan kami rapat antara satu sama lain jadi itu satu kelebihan yang harus kami ketengahkan," ujarnya.
Tidak mahu leka dengan pujian yang diterima atas peningkatan prestasi tahun ini, Iskandar akui banyak lagi perlu diperbaiki selepas beraksi di GP Emas India.
Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh, dia menaruh harapan yang tinggi dapat beraksi dalam saingan Piala Thomas apatah lagi sebelum ini dia belum berpeluang untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan.
"Perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seperti Datuk Lee Chong Wei, ketika ini saya cuma fokus mahu perbaiki segala kelemahan yang ada. Jadi saya enggan berfikir banyak selain dari meningkatkan prestasi," jelasnya.
#badminton #Hyderabad #India #Iskandar Zulkarnain Zainuddin #Lee Chong Wei
;