Jangan terlalu selesa, Thailand ujian sebenar Harimau Muda - Shahril
Sinar Harian
September 10, 2023 09:50 MYT
September 10, 2023 09:50 MYT
PEMAIN skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun negara diingatkan tidak terlalu selesa selepas melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada Sabtu.
Sebaliknya pengurus Harimau Muda B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar menuntut pemain fokus kepada misi pasukan meraih keputusan positif berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan Selasa ini.
Malah, tegas Shahril hanya kemenangan akan menjamin kemaraan barisan muda negara ke temasya berprestij B-23 itu dan tidak perlu menempuh laluan yang sukar.
“Alhamdulillah, pertama sekali syukur dan tahniah kepada semua pemain yang telah berusaha keras dalam memastikan kemenangan 4-0 pasukan negara.
“Kita akan bertemu pasukan pilihan kejohanan Thailand, namun saya yakin semua pemain berada dalam keadaan yang bersedia.
"Saya percaya setiap pemain teruja dengan dua kemenangan sebelum ini bersemangat untuk berikan saingan hebat kepada Thailand,” katanya.
Dalam pada itu, T Saravanan penjaring dua gol dalam perlawanan tersebut memberi jaminan menampilkan aksi terbaik dalam pertemuan penting berkenaan.
“Kami mahukan kemenangan untuk mencerahkan peluang mara ke peringkat seterusnya.
"Saya juga ucapkan terima kasih kepada para penyokong Harimau Muda B-23 yang sentiasa menyokong kami dalam mengharungi kempen ini,” katanya.
Skuad kendalian E Elavarasan sebelum itu meneruskan rentak kemenangan aksi kelayakan apabila membelasah Filipina, 4-0 di Stadium Chonburi, Thailand.
Kedua-dua pasukan tampil dengan satu misi iaitu melebarkan dan memburu kemenangan dalam perlawanan kedua yang mana sebelum ini Malaysia membuka tirai dengan kemenangan 2-0 ke atas Bangladesh manakala Filipina pula dibelasah Thailand, 5-0.
Angkatan Harimau Muda B-23 Elavarasan tiada pilihan kecuali meraih tiga mata dengan jaringan besar dalam memastikan jajaran ke pusingan akhir di Qatar 2024 terus menyala.
Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi yang menyarung jersi Selangor FC terlebih dulu meletakkan pasukan negara di depan seawal minit pertama.
Sebagai rekod, gol anak muda berusia 22 tahun itu juga merupakan gol terpantas dalam saingan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 setakat ini.
Saravanan, bintang muda Kuala Lumpur City, kemudian menjadikan kedudukan 2-0 pada minit keenam sebelum gol minit ke-23 seorang lagi pemain Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar menjadikan kedudukan 3-0.
Separuh masa kedua, bintang prolifik Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin digantikan dengan Najmudin Akmal Kamal Akmal selepas pemain KV Kortrijk itu mengalami kecederaan pada babak pertama.
Saravanan sekali lagi menjadi duri dalam daging Filipina apabila pemain berusia 22 tahun itu melebarkan lagi jaringan Harimau Muda B-32 dengan gol keempat pada minit ke-61 seterusnya jaringan kedua peribadi di Chanbori.
Kemenangan positif itu membolehkan Harimau Muda B-23 mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.
Ujian karakter anak-anak buah Elavarasan akan diuji sepenuhnya apabila berdepan dengan pasukan pilihan Thailand dalam aksi terakhir kumpulan pada Selasa.
KELAYAKAN PIALA ASIA B-23 2024
KUMPULAN H
KEPUTUSAN
Malaysia 2-0 Bangladesh
Malaysia 4-0 Filipina
JADUAL
SELASA (12 SEPTEMBER)
Malaysia lwn Thailand, 9.30 malam
*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi, Thailand. - Sinar Harian