Jangan terlalu bergantung undian mudah - Mohamad Norza

Bernama
Ogos 10, 2017 16:07 MYT
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan atlet agar sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi sehingga tamat permainan mereka.
Skuad badminton negara diingatkan jangan terlalu bergantung nasib untuk mendapat undian mudah pada Kejohanan Badminton Dunia dan temasya Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017).
Sebaliknya, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan atlet agar sentiasa mempunyai semangat juang yang tinggi sehingga tamat permainan mereka.
Katanya, skuad negara mampu meraih kejuaraan dunia dan juga meraih lebih daripada dua pingat emas yang disasarkan dalam acara badminton jika masing-masing kekal dengan semangat dan tidak mudah menyerah kalah.
"Ingin saya ingatkan bahawa kita tidak boleh sekadar bergantung nasib kepada undian mudah semata-mata sebaliknya perlu mempunyai semangat juang luar biasa. Selagi belum sampai 21 mata, jangan sekali kita mengalah.
"Saya percaya kita akan ada dua atau tiga juara dunia di Glasgow (pada Kejohanan Badminton Dunia) dan akan bawa balik lebih daripada dua pingat emas di Sukan SEA," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan pertama BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza berkata di Kejohanan Dunia pada 21 hingga 27 Ogos, jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei sudah pasti mahu menjadi juara namun peluang pemain lain juga tidak boleh dinafikan.
"Mungkin ini adalah penampilan terakhir Chong Wei untuk mendapatkan kejuaraan dunia tapi tidak boleh dinafikan bahawa pemain seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga mahu bergelar juara.
"Saya ada bercakap dengan V Shem-Wee Kiong, seandainya mereka boleh menang final kejohanan bertaraf Super Series, mereka juga boleh menang kejohanan dunia kerana ia hampir sama. Mereka perlu memperbaiki persefahaman antara mereka," katanya.
Mengenai perhimpunan bulanan itu, Mohamad Norza berkata beliau mahu menjadikan aktiviti itu sebagai rutin bulanan sebagai usaha merapatkan hubungan kekeluargaan dalam BAM.
Katanya, melalui perhimpunan itu, BAM boleh memaklumkan perkembangan terkini selain meraikan kejayaan atlet di dalam kejohanan yang disertai mereka.
"Kita akan cari tarikh yang sesuai supaya semua dapat berkumpul bersama. Perhimpunan ini akan dimulakan dengan lagu Negaraku agar mereka tahu kita semua adalah rakyat yang mendukung aspirasi negara," katanya.
- BERNAMA
#badminton #BAM #Malaysia #Norza Zakaria #Sukan SEA
;