Jangan tadbir badan sukan jika tiada program pembangunan
Ian Johan Ariff
Januari 11, 2018 08:47 MYT
Januari 11, 2018 08:47 MYT
PERSATUAN Sukan Luncur Beroda Malaysia (MARS) merupakan sebuah badan sukan baharu yang sangat aktif dalam sukan luncur beroda dan juga ekstrem, di bawah pimpinan bekas pemain in-line, Idroose Tambarin.
Beliau berjaya mengatur pelbagai program pembangunan atlet dan kursus akreditasi kejurulatihan bagi sukan di bawah perlembagaannya selain menganjurkan festival sukan ekstrem antarabangsa, FISE di Langkawi pada 2014 dan 2015.
Setakat ini, tiada badan sukan lain yang aktif dalam pembangunan sukan ekstrem dan luncur beroda ini selain MARS, selepas berkuburnya ESAM, sebuah persatuan sukan ekstrem yang pernah menganjurkan Asian X Games di Kuala Lumpur sebanyak empat kali.
Bagi Idroose, yang kini memegang jawatan timbalan Presiden MARS, pendekatan untuk pembangunan sukan harus berubah selaras dengan generasi kini dan berpaksikan amalan yang sama yang diguna pakai badan sukan antarabangsa.
Persatuan sukan yang tiada struktur program pembangunan dari peringkat akar umbi sehingga profesional walaupun sudah wujud sekian lama tidak berhak menjadi pentadbir badan sukan di bawah perlembagaannya.
“Setiap persatuan perlu ada sistem kejurulatihan, melahirkan banyak instructor (pengajar) untuk membangunkan sebuah sukan selain mewujudkan struktur atau sistem pembangunan bermula dari peringkat akar umbi ataupun sekolah,” kata Idroose yang memegang jawatan presiden MARS sejak penubuhan persatuan itu pada 2010 sehingga 2017.
“Dengan terhasilnya jurulatih atau instructor di seluruh Malaysia, penggiat sukan itu mempunyai pelbagai sumber mencari makan dengan sukan yang mereka minati,” jelas Idroose lagi.
Idroose melepaskan jawatan presiden tahun lepas bagi memberi laluan dan sokongan kepada muka baharu untuk MARS mencari pendekatan baharu.
Bagi Idroose, tugas persatuan sukan tempatan bukan setakat memantau perkembangan dari atas atau menganjurkan kejohanan sekadar untuk menghantar atlet bertanding di luar negara sahaja.
Selain itu, penubuhan persatuan di Malaysia juga harus mengikut amalan yang sama seperti struktur urus tadbir dan menggabungkan sukan yang sama mengikut badan sukan antarabangsa, terutama sekali yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Ia perlu juga mempunyai sistem ranking menerusi kejohanan-kejohanan yang dianjurkan dan tidak boleh mengharapkan dana daripada kerajaan sahaja untuk menggerakan persatuan itu.
Tanggungjawab persatuan sukan amat besar dan pihak yang terlibat perlu mengutamakan komuniti dan sentiasa aktif, bukan sekadar mendaftar nama untuk menubuhkan sesebuah persatuan sahaja.
Sebagai contoh, Idroose menyatakan, badan yang mentadbir sukan seperti papan selaju, bmx atau in-line skating yang sering dikaitkan dengan aktiviti vandalisme atau bermain di jalanan, perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.
Antaranya, dengan menukar polisi larangan dan cuba bekerjasama dengan pemain sukan itu yang menjalani aktiviti sihat di tempat awam.
“Walaupun ada banyak gelanggang sukan ekstrem di Malaysia, budaya mereka adalah bermain di jalanan.
"Kita tidak boleh ubah cara mereka yang suka bermain di tempat awam tetapi kita boleh wujud polisi baharu dan kerjasama seperti membenarkan mereka bermain pada waktu tertentu atau bincang bagaimana mereka boleh bermain dengan selamat tanpa membahayakan orang awam.
"Persatuan sukan juga boleh bantu membaiki harta awam yang rosak akibat aktiviti sukan terbabit,” kata Idroose.
MARS merupakan persatuan sukan yang mentadbir sukan seperti speed skating, freestyle in-line, in-line hockey dan aggressive roller di Malaysia.
Di peringkat antarabangsa, MARS merupakan ahli kepada badan antarabangsa yang diiktiraf IOC iaitu World Skate (dahulu dikenali sebagai Persekutuan Sukan Luncur Beroda Antarabangsa ataupun F.I.R.S.) dan Konfederasi Sukan Luncur Beroda Asia (CARS).
“Sebuah persatuan juga tidak boleh ditubuhkan hanya untuk kepentingan peribadi dan harus memberi balik kepada komuniti. Selepas dua atau tiga tahun, sepatutnya sesebuah persatuan sudah mempunyai struktur dan sistem pembangunan yang teratur,” jelas Idroose.
Dalam World Skate, MARS diiktiraf sebagai badan tadbir yang sah untuk sukan papan selaju (skateboarding).
Pada 2013-2014, MARS menganjurkan Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan yang turut melibatkan papan selaju dan BMX.
Pada 2015, MARS mewujudkan sistem akreditasi jurulatih untuk sukan in-line dan juga papan selaju (NRSA) bertujuan melahirkan jurulatih sukan yang berkredibiliti.
Pada 2011 MARS menghantar atlet untuk mewakili negara dalam sukan speed skating di Sukan SEA Palembang 2011, di mana pasukan wanita membawa pulang gangsa dalam acara 3 x 3000 inline skating relay.
Pencapaian ini membuktikan bahawa MARS adalah sebuah badan yang aktif dan pentingkan pembangunan sukan di bawah perlembagaannya.
Dianggotai bekas atlet dan mereka yang benar-benar meminati sukan yang terlibat adalah resepi kejayaan MARS.
#Asian X Games
#badan sukan
#BMX
#cars
#ESAM
#FIRS
#FISE
#Idroose Tambarin
#in-line hockey
#in-line skate
#IOC
#jurulatih
#mars
#NRSA
#Papan Selaju
#persatuan sukan
#roller skate
#Vandalisme
#World skate