Jangan putus asa, teruskan karier, itu pesan Sultan Sharafuddin kepada saya - Faisal Halim

Khalis Khadir
Disember 11, 2024 16:30 MYT
Faisal Halim antara 17 penerima A.I.S dalam istiadat berkenaan sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah pada Rabu. - Foto Threads @ faisalhalim.7
KLANG: “Sultan Sharafuddin menyatakan supaya kerja keras, jangan putus asa dan teruskan (karier sebagai pemain bola sepak) sebelum saya menzahirkan ucapan terima kasih dan insya-Allah.”

Ringkasan AI
  • Faisal Halim, pemain Selangor FC, menerima pesanan dari Sultan Selangor untuk terus bekerja keras dan tidak berputus asa dalam karier bola sepaknya semasa dianugerahkan bintang kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S).
  • Penganugerahan dan pesanan Sultan Selangor menjadi motivasi bagi Faisal untuk kembali menjadi pemain utama pasukan Merah Kuning dan mencari rezeki untuk keluarganya.
  • Faisal Halim pernah menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu, menyebabkan beliau perlu menjalani beberapa pembedahan akibat kelecuran tahap empat.

Itu perkongsian pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim yang menceritakan titah pesanan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika beliau dianugerahkan bintang kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S).
Faisal antara 17 penerima A.I.S dalam istiadat berkenaan sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Sultan Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini pada Rabu.
Menurut Faisal yang mesra dipanggil Mickey, penganugerahan dan pesanan itu menjadi tonik berguna untuk kembali menjadi antara pemain bola disegani seperti sebelum ini.
“Walaupun keadaan saya sekarang begini tapi saya terima. Ini semua takdir, saya kena kuatkan semangat cari rezeki untuk isteri dan anak,” ujarnya.
Jelas Faisal, sasarannya ketika ini adalah untuk kembali menjadi barisan utama pasukan Merah Kuning dan berharap para penyokong dapat mendoakan kebangkitannya.
“Merafak sembah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diatas pengurniaan anugerah ini.
“Patik dengan rendah diri merasa penuh syukur dan terharu menerima penghargaan ini. Saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baharu untuk patik terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua. Daulat Tuanku,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada 5 Mei lalu, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara sehingga perlu menjalani beberapa pembedahan akibat kelecuran tahap empat.
#Faisal Halim #Sultan Selangor #Bintang Kebesaran #Sultan Sharafuddin Idris Shah #terkini
;