Jangan perguna kesetiaan penyokong Kedah dengan naikkan harga tiket - kelab

Bernama
November 16, 2016 10:31 MYT
Ribuan penyokong pasukan Kedah memenuhi perkarangan Stadium Darul Aman bagi menyambut kepulangan pasukan mereka pada 1 November lalu. Gambar fail / BERNAMA
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sepatutnya tidak mempergunakan kesetiaan penyokong Lang Merah dengan menaikkan harga tiket perlawanan di Stadium Darul Aman.
Pengerusi Kelab Peminat Jaguh Utara Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata tindakan menaikkan harga tiket itu tidak sewajarnya dilakukan ketika rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Apakah alasan kukuh KFA untuk menaikkan harga tiket, sedangkan tindakan itu hanya membebankan penyokong yang mungkin datang daripada jauh apatah lagi jika datang bersama keluarga.
"KFA ada penaja, sepatutnya jika ingin menaik taraf stadium gunakanlah duit penaja bukannya duit penonton," katanya yang mahu KFA mempertimbang semula cadangan itu.
Katanya KFA juga baru sahaja menaikkan harga tiket bagi tempat duduk berbumbung daripada RM16 kepada RM22, namun fasiliti dan infrastruktur di stadium masih berada pada takuk lama.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri semalam, Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar berkata KFA akan mempertimbang untuk menaikkan harga tiket perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman mulai tahun depan.
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata ketika ini harga tiket di Stadium Darul Aman adalah yang paling murah di dunia dan kenaikan itu sudah pasti tidak akan membebankan semua pihak.
BACA: KFA pertimbang naikkan harga tiket perlawanan bola di Stadium Darul Aman
Senada dengan Mohd Safarizal, Pengerusi Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning Mohd Noor Farzli Adenan pula berkata kenaikan harga tiket hanya akan menyebabkan pertambahan kos bagi setiap individu yang mahu menonton perlawanan.
"Bila individu itu mahu ke stadium, dia bukan hanya membayar tiket tapi juga perlu fikir kos bahan api dan makanan, mungkin mereka perlu sediakan RM40 hingga RM50 untuk sekali perjalanan, bagaimana pula mereka yang duduk jauh seperti di Baling dan Kulim," katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika kenaikan harga tiket itu membolehkan fasiliti di stadium seperti keadaan surau yang sempit dan kerusi yang rosak dapat dinaik taraf, penyokong pastinya tidak akan berkira dengan kenaikan tersebut.
"Tapi kalau kemudahan masih lagi macam sekarang saya harap agar KFA tangguhkan dahulu cadangan tersebut, ditambah kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya. -- Bernama
#farga tiket #Kelab Peminat Jaguh Utara #persatuan bola sepak kedah
;