Jangan pandang remeh, emas tetap emas - Akramuddin

Bernama
Ogos 31, 2018 08:08 MYT
AKRAMUDDIN: Kami berhempas pulas untuk mendapatkan emas... ia bukan sesuatu yang mudah. - Gambar fail
Mereka yang mengkritik dan meremehkan kejayaan skuad sepak takraw negara meraih pingat emas di dalam acara antara regu Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 perlu lebih adil dalam melontarkan kritikan mereka.
Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata pendekatan bersikap lebih terbuka dengan kemenangan itu sepatutnya menjadi keutamaan dan bukan sebaliknya.
"Bagi saya pingat emas tetap pingat emas, biarpun pengkritik merasakan skuad kami menang disebabkan pasukan terkuat tidak turut serta.
"Kalau mereka saksikan perlawanan itu mereka sendiri boleh nampak bahawa kami berhempas pulas untuk mendapatkan emas... ia bukan sesuatu yang mudah," katanya pada Khamis selepas ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini.
Akramuddin menjawab dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan faktor skuad negara berjaya meraih pingat emas bagi acara antara regu itu adalah disebabkan ketiadaan pasukan Thailand.
Di temasya Sukan Asia 2018, skuad negara melakar sejarah selepas menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas menerusi acara antara regu menewaskan tuan rumah Indonesia pada peringkat akhir.
BACA: PSM tidak mahu pemain terlalu dimanjakan
BACA: Kemarau emas 24 tahun sepak takraw berakhir!
Skuad negara meraih emas menerusi trio Muhammad Zulkifli Abd Razak selaku tekong, Farhan Adam (pengumpan) dan Mohamad Azlan Alias (perejam).
Dalam pada itu, kapten pasukan negara Farhan Adam turut menyatakan pandangan yang sama.
"Hargailah kemenangan serta penat lelah kami,bukan mudah untuk melakar kejayaan itu," katanya.
Sepak takraw turut menghadiahkan pingat perak menerusi acara regu berpasukan.
-- BERNAMA
#acara antara regu #adil #Akramuddin Abdul Aziz #Farhan Adam #Indonesia #kritik #Malaysia #Persatuan Sepak Takraw Malaysia #pingat emas #PSM #sepak takraw #sukan #Sukan Asia #Thailand
;