Jangan lepas tangan - Shukor
Astro Arena
Januari 6, 2020 23:51 MYT
Januari 6, 2020 23:51 MYT
KAPTEN skuad Kuala Lumpur, Shukor Adan, menuntut hak, serah afidavit tuntutan hak gaji dan bonus daripada Persatuan Bolasepak Melaka kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.
Shukor memilih untuk memperjuangkan hak tanpa melibatkan pihak ketiga apabila hari ini (Isnin) secara rasmi telah menghantar afidavit tuntutan hak gaji dan bonus ketika bersama Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) musim lalu.
Sehingga ke saat ini, janji daripada MUSA untuk menyelesaikan tuntutan gaji gagal dilunaskan selain turut melanggar janji untuk pembayaran gaji pada tarikh yang ditetapkan.
"Mereka akan cuba membayar tunggakan gaji seawal esok dan selewat-lewatnya Rabu depan, namun saya percaya ia sekadar alasan yang tidak boleh diterima. Kami tidak menerima surat ketika digugurkan dan telah diberitahu gaji kami akan dibayar bulan lalu," kata Shukor.
Selain Shukor, seramai 13 pemain lain turut membuat tindakan yang sama tetapi memilih Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebagai wakil mereka.
"Tindakan saya sebenarnya bukan atas kepentingan diri sendiri. Perkara paling penting adalah kebajikan pemain dan pihak kelab dan pasukan tidak seharusnya lepas tangan sahaja," katanya.
MUSA sebelum ini turut melarang mana mana pemain Melaka mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi di media atas alasan menghormati kontrak.
Masalah gaji pemain melibatkan pasukan Melaka amat meruncing sehingga ada dalam kalangan pemain yang terpaksa dilabel muflis.
#bonus
#FAM
#kapten skuad
#Kuala Lumpur
#MUSA
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#persatuan bola sepak melaka
#shukor adan
#tuntutan gaji