Jangan harapkan 'overnight result' Harimau Malaya, kata Azman Adnan

Bernama
Mac 19, 2022 05:30 MYT
Azman berkata sebarang proses penambahbaikan skuad bimbingan ketua jurulatih Kim Pan Gon itu memerlukan masa secukupnya untuk membuahkan hasil. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara Azman Adnan mengingatkan peminat bola sepak tanah air supaya tidak mengharapkan skuad Harimau Malaya untuk mencapai 'overnight result' atau hasil segera menjelang aksi persahabatan Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura minggu depan.
Sebaliknya, Azman, 51, berkata sebarang proses penambahbaikan skuad bimbingan ketua jurulatih Kim Pan Gon itu memerlukan masa secukupnya untuk membuahkan hasil.
"Kita sebagai peminat perlu memberi ruang kepada jurulatih untuk menilai pemain yang dipanggil dan berkemungkinan yang dia (Pan Gon) panggil bukan skuad utama lagi.
"Kita jangan terlalu berharap untuk meminta sesuatu menakjubkan daripada pasukan negara. Sebagai peminat perlu memberi sokongan padu kepada mereka," katanya ketika sidang media majlis pelancaran koleksi digital token tidak sepiawai Azman Adnan Non-Fungible Tokens (AANFT) di DC2Space, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, bekas penyerang kebangsaan itu juga berharap untuk melihat pasukan negara mampu menunjukkan corak permainan yang 'garang' dalam saingan itu nanti.
"Saya ingin melihat pemain kebangsaan menunjukkan prestasi terbaik dan saya ingin melihat mereka memberi kelainan dalam perlawanan akan datang ini," katanya.
Azman juga meletakkan harapan tinggi supaya kehadiran Pan Gon dapat melahirkan lebih ramai penyerang berbisa.
"Setakat ini kita kurang penyerang yang berwibawa dalam pasukan negara jadi kita mengharapkan kepada pemain yang dipilih oleh jurulatih agar memberi yang terbaik dalam perlawanan.
"Tak kisah siapa yang jadi penyerang, yang penting kesemua pemain akan memberi sepenuh hati untuk berjuang habis-habisan," katanya.
Skuad kebangsaan akan berlepas ke Singapura Selasa ini bagi memulakan aksi persahabatan antarabangsa berstatus Tier 1, menentang Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah (26 Mac) di Stadium Nasional Singapura.
Selepas itu, pasukan negara dijadualkan menentang pasukan Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar di republik itu.
Terdahulu, Azman dalam majlis itu mencatat sejarah menjadi pemain bola sepak pertama di Malaysia yang melancarkan 19 koleksi digital AANFT di platform digital PENTAS.io.
Produk tersebut diterajui pengasas e-dagang MONYOK.COM Jemizan Abu Bakar dan turut disertai pengasas bersama platform PENTAS Mohamed Dzariff Wazilah.
-- BERNAMA
#Azman Adnan #harimau Malaya #bola sepak #Kim Pan Gon
;