'Jangan hanya hebat bersilat di gelanggang, lawan tak tumbang'
Sinar Harian
Oktober 21, 2021 08:31 MYT
Oktober 21, 2021 08:31 MYT
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) belum lagi boleh meletakkan kebergantungan kepada pemain-pemain senior atau junior sedia ada untuk meraih impak positif di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas prestasi luar biasa dipamerkan pemain-pemain muda negara-negara pesaing dalam kejuaraan Piala Sudirman dan Piala Thomas & Uber baru-baru ini.
Malah menurut penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, BAM perlu cepat mematangkan pemain junior yang menyerlah pada Piala Sudirman, Piala Uber dan Piala Thomas baru-baru ini.
“Hantar sahaja mereka ke mana pelusuk dunia untuk beraksi dan jangan setakat bergelar jaguh kampung sahaja. Bermula dengan pentas kejuaraan serantau pada Sukan SEA Vietnam, Mei tahun depan sebagai gelanggang pembikinan jaguh-jaguh baru negara yang lengkap serta meyakinkan untuk dipertaruhkan pada Paris 2024 dan bukan pemain harapan tetapi prestasinya terumbang ambing bagai biduk di tengah lautan.
“Apapun kalau sekadar jadi jaguh atau menang pingat emas di Sukan SEA atau muncul juara berkali-kali badminton world super series sekalipun ia sebenarnya bukan jaminan atau jangan bermimpi di siang hari untuk yakin menang emas di Paris 2024 bahkan untuk mara ke separuh akhir pun nanti penuh ranjau dan duri.
“Sekarang baru 2021, kita ada tiga tahun lagi untuk kembali bertarung di pentas Olimpik Paris 2024, harus diingat bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan jangan kita ingat bahawa Malaysia sahaja yang ada pemain muda yang menyerlah potensinya pada Piala Sudirman atau Piala Uber dan Piala Thomas baru-baru ini. Bagaimana dengan pemain-pemain muda China, Indonesia, Jepun, Chinese Taipei, Denmark dan lain-lain.
“Kita kononnya seperti yakin dalam kalangan pemain muda kita ini dapat kekalkan prestasi sekarang atau semakin maju dan meningkat permainannya selepas ini. Apa yang saya bimbang mereka ini entah-entah tenggelam sebelum Paris 2024 tanpa penambahbaikan dalam latihan atau teknik permainan individu yang dimiliki oleh pemain-pemain Indonesia seperti Anthony Ginting dan Jonathan Christie yang sangat mengelirukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada masa sama jelas Pekan lagi, persatuan sukan kebangsaan (NSA) tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dengan pencapaian semasa sebaliknya perlu berani menghantar atlet muda masing-masing menyahut cabaran dalam setiap kejuaraan berintensiti tinggi bagi meraih slot ke Olimpik. kalau boleh layak secara merit dan bukan atas tiket ihsan 'wildcard'.
“Apa yang berlaku di Olimpik Tokyo 2020 sebelum ini sepatutnya membuka mata semua persatuan sukan kebangsaan bahawa negara-negara kuasa besar sukan dunia sudah mula meletakkan tanggungjawab meraih pingat kepada atlet muda masing-masing.
“Jadi kita jangan fikir bahawa kita saja ada pemain muda atau 'back up' yang sudah 'ready' untuk mengalas tugas dan nak kaut emas di Paris 2024, kerana negara lain sebenarnya sudah bersedia lebih awal lagi.
“Prestasi semasa sebenarnya perlu diambil kira kerana itu elemen paling penting. Banyak pendedahan dengan saingan yang kompetitif itu juga memang penting tetapi 'showtime' itu lagi penting,” ujarnya lagi.
Tegas Pekan lagi, NSA perlu memastikan setiap program latihan atau kejuaraan yang disertai tidak hanya dapat meningkatkan prestasi permainan tetapi juga daya tahan semasa di gelanggang.
“Bekalkan mereka secukup-cukupnya dengan pelbagai ilmu serta kekuatan dalaman dan luaran. Jangan hanya hebat bersilat di gelanggang tetapi akhirnya tewas juga dalam perjuangan kerana tidak punya senjata ampuh untuk menundukkan lawan.
“Akhirnya sekadar penat bersilat hingga tidak berdaya untuk menikam lawan. Itulah yang berlaku kepada pemain-pemain muda kita di Piala Sudirman, Piala Uber dan Piala Thomas. Biarlah tidak pandai berbunga silat tetapi pantang mendapat peluang tikaman pasti tepat kepada lawan,” katanya.
Artikel asal di Sinar Harian