Jangan beri tekanan kepada Aifa Azman ganti Nicol David - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
November 28, 2021 16:17 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberi tekanan kepada Aifa Azman untuk menggantikan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David. - Foto BERNAMA
IPOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberi tekanan kepada Aifa Azman untuk menggantikan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebaliknya berkata, sokongan akan terus diberikan kepada pemain skuasy remaja itu untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di setiap kejohanan yang disertainya.
Menurutnya, kejayaan muncul juara Terbuka Malaysia 2021 pada Sabtu menunjukkan Aifa seorang pemain yang sangat berpotensi.
“Saya harap beliau akan terus berjaya, namun kita tak perlu berikan tekanan cukup kuat yang terlalu besar kepada beliau untuk menggantikan Nicol David atau sebagainya.
“Tetapi kita berdoa dan beri sokongan kepada beliau supaya beliau dapat mengibarkan panji-panji negara dalam semua kejohanan yang beliau sertai dari semasa ke semasa,” katanya selepas program derma darah Perak Foodbank Bersama Kiwanis Jelapang di Ipoh pada Ahad.
Dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2021 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu, Aifa menundukkan pilihan utama dari Mesir Salma Hany.
BACA: Kisah dongeng Aifa jadi nyata, muncul juara Terbuka Malaysia 2021
Aifa menewaskan pemain di ranking kelapan dunia itu dengan mata 12-10, 11-8, 11-4.
Terdahulu, pemain berusia 19 tahun itu mencuri perhatian pada kejohanan kali ini apabila mengejutkan tiga pemain Mesir yang menduduki ranking lebih tinggi - Mayar Hany (ranking ke-47), Yathreb Adel (ranking ke-31) dan Hana Ramadhan (ranking ke-35) serta pemain pilihan kelima dari Kanada Danielle Letourneau sebelum mara ke final.
#Aifa Azman #Nicol David #KBS #Ratu Skuasy #Ahmad Faizal Azumu #Terbuka Malaysia #Kementerian Belia dan Sukan
;