Jangan asyik berpolitik hal pengurusan PAFA - MB Perak

Bernama
November 15, 2018 17:41 MYT
Selasa lepas, mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain dan memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk memikirkan semula keputusan itu. - Gambar fail
Kesemua pihak diminta memberi fokus mengekalkan momentum pasukan 'The Bos Gaurus' yang berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 2018 berbanding menjadikan isu peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebagai bahan berpolitik.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata semua pihak seharusnya tidak terlalu bergantung kepada isu siapa memegang jawatan tertinggi persatuan itu, sebaliknya perlu memikirkan bagaimana untuk meneruskan kejayaan pasukan berkenaan pada masa akan datang.
"Tidak perlu kita terlalu bergantung siapa presiden PAFA, siapa timbalan presiden atau pengurus pasukan Perak.
"Sesiapa pun boleh menjadi presiden atau timbalan presiden PAFA asalkan fokus untuk membawa pasukan bola sepak Perak menjadi contoh tauladan yang baik kepada peminat bola sepak khususnya generasi muda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Peringkat Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau akan bertemu pengurusan PAFA dalam masa terdekat bagi membincangkan perancangan untuk memperkuatkan pasukan menghadapi cabaran lebih besar dan memenangi lebih banyak kejuaraan dalam Liga Malaysia.
"Saya juga mendengar pandangan daripada orang ramai dan memantau pendapat peminat bola sepak Perak," katanya.
Ditanya mengenai keputusan barisan Exco PAFA menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain sebagai Presiden PAFA, Ahmad Faizal berkata beliau yakin Hasnul Zulkarnain akan membuat keputusan terbaik untuk masa depan bola sepak Perak.
"Ini bukan mengenai kepentingan beliau, bukan mengenai kepentingan saya, apa yang penting fokus untuk bawa lebih banyak kejayaan kepada pasukan bola sepak Perak.
"Sebagai contoh tidak semestinya kalau saya jadi presiden boleh membawa kejayaan sehingga ke peringkat Asia. Ini bukan soal siapa jadi presiden tapi yang penting bagaimana nak kekalkan momentum kejayaan," katanya.
Selasa lepas, mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA menolak peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain dan memberi tempoh 14 hari kepadanya untuk memikirkan semula keputusan itu.
Bagaimanapun, mesyuarat itu menerima peletakan jawatan timbalan presidennya, Datuk Adly Shah Ahmad Tah.
Terdahulu, Hasnul Zulkarnain yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan Perak, mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PAFA selepas memegang tampuk tertinggi badan induk itu sejak 21 Julai lepas.
#Ahmad Faizal Azumu #bola sepak #Hasnul Zulkarnain #NGO #PAFA #Piala Malaysia
;