Jamie Vardy cipta sejarah
Astro Arena
November 29, 2015 15:38 MYT
November 29, 2015 15:38 MYT
Jamie Vardy mengukir nama selaku pemain pertama yang menjaringkan gol pada 11 perlawanan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, namun Leicester City dan Manchester United terlepas peluang untuk gelaran pendahulu apabila sekadar seri satu sama di Stadium King Power.
Pertemuan Leicester dan United cukup dinantikan kerana kemenangan mampu mengesahkan gelaran pendahulu liga.
Tuan rumah pamer aksi kemas, dengan Vardy cukup bersedia untuk mencipta sejarah. Hasilnya, pada minit ke-24, gawang United yang dikawal David de Gea bocor juga, menerusi rembatan Vardy, sekaligus memecah rekod lagenda pasukan lawan, Ruud van Nistelrooy yang dicipta menerusi dua musim pada 2003.
Jaringan pada perlawanan ke-11 berturut-turut liga ini menyaksikan Vardy juga muncul selaku penjaring terbanyak liga dengan 14 gol musim ini. Kegembiraan itu sedikit tenggelam apabila jaringan penyamaan berjaya diraih United, menerusi Bastian Schweinsteiger pada lewat babak pertama.
Walaupun beberapa pertukaran dilakukan dibabak kedua, namun keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Satu mata yang diraih Leicester dan united, sekadar menjamin kedudukan mereka rapat dengan Manchester City yang kembali merampas gelaran pendahulu.
City kembali mencipta kemenangan dengan menundukkan Southampton 3-1. Sementara lain-lain perlawanan menyaksikan Crystal Palace menang besar 5-1 ke atas Newcastle United.
Aston Villa tumpas 3-2 kepada Watford, Bournemouth terikat 3-3 dengan Everton dan Stoke City pula tumpas 0-2 kepada Sunderland.
Saingan kelompok atasan masih sengit dengan City kembali merampas gelaran pendahulu dari Leicester dengan kelebihan jaringan, selepas terikat 29 mata. United ditangga ketiga, ketinggalan satu mata.