James buat Colombia kembali berdansa
Ian Johan Ariff
Jun 24, 2018 05:26 MYT
Jun 24, 2018 05:26 MYT
Colombia bangkit daripada kekalahan kepada Jepun dalam perlawanan pembukaan dengan kemenangan 3-0 ke atas Poland awal pagi tadi.
James Rodriguez memainkan peranan penting di bahagian tengah untuk Colombia, dengan mencipta dua gol untuk skuad Los Cafeteros.
Pada perlawanan menentang Jepun, Rodriguez hanya diturunkan dalam babak kedua dalam perlawanan yang menyaksikan Colombia kalah 1-2 dalam perlawanan pertama.
Berlangsung di Kazan Arena, Colombia menguasai perlawanan sejak sepak mula dan beberapa kali mengugat gawang lawan hasil serangan dari kanan padang menerusi Juan Cuadrado.
Gol yang dinantikan tiba pada minit ke-40 apabila hantaran Rodriguez dari kanan padang ditanduk pertahanan tengah Colombia, Yerri Mina.
Poland yang sering membuat kesilapan di bahagian tengah padang seakan hilang punca untuk mencari gol penyamaan dan jarang sekali mengugat gawang Colombia.
Pada minit ke-58, Robert Lewandowski mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan namun penjaga gol Colombia, David Ospina menjadi penghalang.
Colombia berjaya menggandakan jaringan apabila Radamel Falcao menyudahkan lorongan bola daripada Juan Quintero pada minit ke-70.
Ia juga merupakan gol Piala Dunia FIFA yang pertama buat penyerang berusia 32 tahun itu.
Rodriguez sekali lagi membuat hantaran yang cemerlang hasil satu serangan balas yang membolehkan Cuadrado menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-75.
Perlawanan tamat 3-0 memihak kepada Colombia sekali gus menghidupkan semula peluang skuad bimbingan Jose Pekerman itu untuk bermain di pusingan kalah mati.
Colombia akan menentang Senegal pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 28 jun jam 10 malam, sementara Poland yang sudah sah tersingkir dari kejohanan akan menentang Jepun pada hari dan waktu yang sama, bagi melengkapkan kejohanan.
#Awani FIFA
#Colombia
#James Rodriguez
#Kazan Arena
#Kumpulan G
#Piala Dunia 2018
#poland
#Raya Bola 2018