Jambatan Pulau Pinang ditutup sementara Ahad ini
Bernama
November 20, 2017 21:49 MYT
November 20, 2017 21:49 MYT
Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara selama 10 jam kepada semua kenderaan pada Ahad ini sempena acara Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2017.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS), dalam kenyataan, hari ini, berkata jambatan akan ditutup mulai jam 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi dan akan dibuka semula selepas selesai acara larian tersebut.
PLUS berkata orang ramai yang perlu keluar-masuk antara kawasan pulau dan tanah besar dinasihati supaya menggunakan perkhidmatan feri yang akan beroperasi 24 jam atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah sebagai laluan alternatif.
"Orang ramai juga dinasihati mematuhi semua papan tanda dan arahan yang diberikan PLUS," katanya.
-- BERNAMA