Jamal Nasir tidak terguris kenyataan Khairy
Bernama
Oktober 22, 2017 07:25 MYT
Oktober 22, 2017 07:25 MYT
Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail tidak terguris dengan gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta beliau agar berehat di 'muzium', kerana pandangan yang dilontarkannya sebelum ini adalah ikhlas.
Jamal Nasir berkata apa yang diluahkan itu hanyalah semata-mata mahu melihat pasukan bola sepak negara kembali bangkit mencatat kegemilangan sebagaimana suatu ketika dahulu.
"Saya sebagai bekas pemain kebangsaan atau atlet, saya juga ada pengalaman menjadi jurulatih, pengurus pasukan dan anggota jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Sebab itu, saya boleh menilai berdasarkan pengalaman yang ada, tapi beliau hanya seorang Menteri Belia dan Sukan yang datang dan pergi, tetapi kami (bekas pemain) kekal sebagai legenda yang pernah membawa nama Malaysia ke Sukan Olimpik yang gagal diatasi sehingga kini.
"Oleh itu, saya nasihatkan beliau sudah-sudahlah mengecilkan orang lain, saya berani komen kerana ikhlas dari sudut hati dan bukan kerana benci Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atau Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Empat Penjuru bersempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini pada Ahad.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mencemar duli menyaksikan kejohanan julung kali diadakan itu, menyaksikan pasukan Ex Malaysia dan Ex Singapura dinobatkan juara bersama selepas perlawanan terpaksa dihentikan ekoran hujan lebat dan kedua-dua pasukan membawa pulang wang tunai RM5,000.
Jamal Nasir menjelaskan pendekatan JDT mengambil pemain muda ada pro dan kontra, tetapi tidak menyalahkan pasukan itu seratus peratus atas kemerosotan prestasi dan ranking pasukan negara di peringkat antarabangsa.
"Saya kata jika JDT hendak ambil pemain muda itu bagus kerana hayat bola sepak hanya 10 tahun dan mereka akan dapat duit yang banyak untuk disimpan.
"(Namun) ia lebih bagus jika mereka semua boleh diturunkan dengan mewujudkan pasukan berasingan bagi saingan Piala Konfederasi Asia dan Liga Malaysia, tapi sekarang hanya pemain sama yang bermain bagi setiap kejohanan.
"Pemain baharu ini perlukan pendedahan, kalau hanya letak di bangku simpanan pada usia muda habislah dia apabila mencecah umur 22 hingga 26 tahun kerana seni bola sepak mereka akan lari seperti Safee Sali. Jika ini berterusan karier bola sepak pemain terbabit akan musnah walhal mereka bagus tetapi tidak dapat berkembang," katanya.
Beliau berkata masalah pasukan Harimau Malaya hanya dapat diatasi jika pembangunan peringkat akar umbi diambil serius oleh setiap pasukan negeri dan kelab yang bertanding.
"Masalah kita adalah dari segi pembangunan peringkat negeri yang kurang, selagi tidak ada satu pembangunan remaja yang bagus selagi itu skuad negara tidak kuat dan membangun.
"Sebagai contoh pasukan Kedah bagus sejak daripada Allahyarham Datuk Ahmad Basri Mohd Akil lagi, janganlah pada umur 24 ke 25 tahun baharu disuruh bermain dalam pasukan negara.
"Tapi biarlah umur 17 ke 18 tahun sebagaimana saya sendiri bermain pada umur 16, supaya mereka ada pengalaman...dulu kita juga berpeluang menyertai banyak saingan peringkat antarabangsa berbanding sekarang, jadi apabila usia 21 ke 22 tahun sudah berpengalaman," katanya.
Baru-baru ini, Khairy menggesa semua pihak terutama bekas pemain kebangsaan supaya berhenti mengkritik JDT dan pengurusan FAM berhubung prestasi buruk skuad Harimau Malaya dan kemerosotan dalam ranking dunia.
Khairy juga menyatakan bekas pemain kebangsaan sepatutnya berehat di 'muzium' dan membiarkan generasi baharu mengendalikan bola sepak negara.
-- BERNAMA
#bola sepak
#FAM
#harimau Malaya
#Jamal Nasir Ismail
#JDT
#Khairy Jamaluddin
#Persatuan Bola Sepak Malaysia
#rehat di muzium
#TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim