Jalani kecam Team LZJ, patut bersyukur peluang berlatih di ABM

Bernama
Ogos 20, 2023 19:26 MYT
Ahli panel penasihat teknikal BAM, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata Zii Jia sepatutnya bersyukur dengan peluang diberikan BAM yang membuka pintu buat pemain profesional berlatih di ABM. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tindakan Team Lee Zii Jia (LZJ) mengecam peraturan pemakaian pemain profesional sewaktu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini, dilihat tidak adil bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ahli panel penasihat teknikal BAM, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata Zii Jia sepatutnya bersyukur dengan peluang diberikan BAM yang membuka pintu buat pemain profesional berlatih di ABM.
Pemenang gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992 itu berkata Zii Jia sepatutnya benda remeh ini tidak diperbesarkan kerana pemain nombor 13 dunia tersebut mendapat keistimewaan berlatih bersama pemain mahupun bakat di bawah BAM yang dapat membantu mengasah permainannya.
"Sudah tentu bila persatuan ada undang-undang dan peraturan mereka kena ikut dan akur...perkara sebegini tidak patut berlaku, tidak adil.
"Akibatnya ia tidak bagus untuk senario badminton negara. Jika kamu mahu timba (pengalaman berlatih di ABM) yang tidak boleh dapat di luar, kamu harus berkorban," katanya pada sidang media bersama abangnya, Datuk Misbun Sidek, di sini, hari ini.
Beliau juga turut bersetuju dengan kritikan pedas dilemparkan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap Zii Jia berhubung isu berkenaan baru-baru ini.
Chong Wei sebelum ini dilaporkan berkata Zii Jia seperti sengaja mahu mencetuskan isu susulan kemelut terbarunya dengan BAM.
Rabu lepas, Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng, dalam satu hantaran di laman Instagram, berkata beliau benar-benar terkejut dan berasa seperti 'dibuli' orang besar selepas BAM mewajibkan pemain profesional memakai pakaian sukan jenama penaja badan induk itu sekiranya mahu berlatih di ABM.
Zii Jia pula dalam satu ruangan komen hantaran Tat Meng berkata: "Jangan nanti cakap saya 'besar kepala' tak datang training pulak. Aishhhhh... susah nii nak jadi LZJ semua salah I (saya) pening".
Kelmarin, Timbalan Presiden BAM 1, Datuk V. Subramaniam berkata peraturan tersebut hanyalah untuk pakaian dan pemain profesional dibenarkan menggunakan raket serta kasut daripada jenama penaja masing-masing ketika berlatih di ABM.
BAM pada tahun lepas membuka pintu buat pemain profesional untuk berlatih di ABM pada setiap hari Rabu dan Jumaat.
-- BERNAMA
#Jalani Sidek #Team LZJ #peraturan pemakaian #ABM #Lee Zii Jia
;