Jaguh Supermoto Khairulamirin patah tulang pelvis, alami pendarahan akibat nahas ngeri
Bernama
Jun 17, 2021 23:45 MYT
Jun 17, 2021 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba Supermoto negara, Khairulamirin Yahaya mengalami kecederaan melibatkan patah tulang pelvis dan pendarahan dalaman selepas terlibat dalam kemalangan ngeri ketika sesi latihan Kejuaraan Supermoto Sepanyol di Albaida, Sepanyol, Jumaat lalu (11 Jun).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya, Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team, Khairulamirin dikejarkan ke hospital terdekat yang menyaksikan beberapa prosedur kecemasan dilakukan, termasuk pembedahan untuk menghentikan pendarahan dalaman.
Pelumba berusia 19 tahun itu, yang lebih dikenali sebagai Rin dalam kalangan pelumba di Supermoo Sepanyol, kini berada dalam keadaan stabil berikutan pembedahan itu, tetapi dijangka tidak dapat beraksi beberapa bulan.
"Rin telah mendapat rawatan perubatan terbaik di Sepanyol dan kini berada dalam keadaan stabil tetapi serius kerana beliau sedang menunggu pembedahan lanjut yang dijadual pada Isnin untuk memulihkan pelvis yang patah," menurut kenyataan itu.
Kecederaan itu merupakan tamparan hebat buat Khairulamirin yang kini terlepas peluang untuk beraksi dalam pusingan pertama Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang dijadual berlangsung bulan ini.
"Rin tetap bersemangat walaupun mengalami kecederaan dan kini memberi tumpuan pada pemulihannya dan menyasarkan kembali cergas untuk bersaing di pusingan akhir Kejuaraan Supermoto Eropah S4 yang berlangsung di Itali pada Oktober," menurut kenyataan itu.
Kemalangan tersebut berlaku ketika Khairulamirin hilang kawalan ke atas motosikalnya dan terbabas kemudian dihempap oleh jenteranya itu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, bapa Khairulamirin mengesahkan pihak Kedutaan Malaysia di Madrid menghubungi pihak keluarga serta pengurus pasukan Supermotoland Husqvarna Junior Talent Team dan bersedia untuk memberikan sebarang bentuk bantuan dan sokongan kepada pelumba itu.
Khairulamirin melakar sejarah sukan permotoran negara apabila muncul pelumba Malaysia pertama beraksi dalam Kejuaraan Supermoto Eropah S4.
-- BERNAMA